,
Buletin

25 TAHUN AUDI RS, DARI ENJIN 5 SILINDER HINGGA V8 DAN V10!

Kereta buatan Audi secara umumnya mempunyai dua sisi. Bahagian pertama ialah untuk pengguna yang sukakan produk premium manakala bahagian kedua buat pengguna yang mahukan sebuah kereta berprestasi tetapi dalam gaya tenang.

Kecuali gril depan yang menonjol, kereta buatan Audi tampil sederhana atau sleeper. Walaupun berada di dalam segmen sama seperti BMW dan Mercedes-Benz, Audi tetap tampil tersendiri terutama sekali pada bahagian reka bentuknya.

Jika berbicara tentang prestasi, awas dengan varian RS. Model dengan lencana RS bukan sembarangan, sejarahnya bermula pada tahun 1994 melalui Audi RS2 Avant.

Model tersebut dengan enjin lima silinder mempunyai kuasa 315 PS dan episod pertama dalam sejarah varian RS.

Apabila bercakap tentang Audi terlalu banyak sudut yang boleh diceritakan, sama ada dari segi penglibatan di dalam perlumbaan rali, enjin lima silinder dan sistem pacuan Quattro.

Sejarah enjin lima silinder dan pacuan Quattro melalui zaman kegemilangan pada perlumbaan rali era 80an dahulu. Kesemua kereta rali Audi pada era tersebut menggunakan enjin lima silinder.

Satu lagi perkara yang sinonim dengan Audi ialah model wagon malah varian RS pertama ialah dalam bentuk badan tersebut.

Audi RS 4 Avant Typ B5

Jika diimbas semula, kombinasi Audi RS2 Avant sangat menarik. Bayangkan anda ada sebuah wagon, ditambah pula dengan enjin lima silinder berkuasa tinggi, kedua-dua kejanggalan tersebut disempurnakan oleh pacuan quattro yang terbukti di dalam perlumbaan rali.

Kuasa buasa, badan pula jenis wagon tidak akan ke mana tanpa sistem cengkaman yang disediakan oleh pacuan quattro.

Melalui RS2 Avant juga Audi telah menghidupkan segmen baharu iaitu wagon berprestasi tinggi.

Audi RS 6 Avant Typ C5

Walaupun Audi RS terkenal dengan enjin lima silinder tidak semua model dikuasakan enjin tersebut. Selepas model pertama tahun 1994, enjin lima silinder lama menghilang sehinggalah digunakan semula pada Audi TT RS tahun 2009.

Sela masa yang lama tersebut diisi oleh pelbagai jenis sesaran dan bentangan enjin. Kuasa enjin pula pelbagai dari sederhana sehingga prestasi ekstrem.

Dari 2.7 liter V6 biturbo pada Audi RS 4 Avant tahun 2000 hinggalah Audi RS 6 Saloon dan RS 6 Avant tahun 2008 yang dikuasakan enjin 5.0 liter V10 biturbo 580PS. Ini kuasa luarbiasa untuk sebuah wagon.

Sehingga hari ini Audi Sport GmbH atau nama asalnya quattro GmbH mempunyai 25 model RS.

Audi RS 4 Avant Typ B7

Berikut ialah barisan varian Audi RS mengikut tahun:

  • Audi RS 2 Avant (1994): 2.2 liter lima silinder turbo, 315PS
  • Audi RS 4 Avant (2000): 2.7 liter V6 biturbo, 380PS
  • Audi RS 6 Saloon dan RS 6 Avant (2002): 4.2 liter V8 biturbo, 450PS, dari 2004 – RS 6 plus, 480PS, terhad  999 unit sahaja
  • Audi RS 4 Saloon (2005), RS 4 Avant (2006), RS 4 Cabriolet (2006): 4.2 liter V8, 420PS
  • Audi RS 6 Saloon dan RS 6 Avant (2008): 5.0 liter V10 biturbo, 580PS,
    dari 2010 – RS 6 plus dengan kelajuan dihadkan kepada 302 km/j
  • Audi TT RS Coupé dan TT RS Roadster (2009): 2.5 liter lima silinder, 340PS; dari 2012 – versi plus berkuasa 360PS
  • Audi RS 5 Coupé (2010) dan RS 5 Cabriolet (2012): 4.2 liter V8, 450PS
  • Audi RS 3 Sportback (2011): 2.5 liter lima silinder, 340PS
  • Audi RS 4 Avant (2012): 4.2 liter V8, 450PS
Audi RS 4 Avant Typ B8
  • Audi RS Q3 (2013): 2.5 liter lima silinder 310PS;
    dari 2014 – 340PS; dari 2016 – versi performance 367PS
  • Audi RS 6 Avant (2013): 4.0 liter V8 biturbo 560PS;
    dari 2015 – versi performance 605PS
  • Audi RS 7 Sportback (2013): 4.0 liter V8 biturbo 560PS;
    dari 2015 – versi performance 605PS
  • Audi RS 3 Sportback (2015): 2.5 liter lima silinder 367PS
  • Audi TT RS Coupé and TT RS Roadster (2016): 2.5 liter lima silinder 400PS
  • Audi RS 3 Saloon (2017): 2.5 liter lima silinder 400PS
  • Audi RS 5 Coupé (2017): 2.9 liter V6 biturbo 450PS
  • Audi RS 4 Avant (2017): 2.9 liter V6 biturbo 450PS
  • Audi RS 5 Sportback (2018): 2.9 liter V6 biturbo 450PS

Berikut pula ialah barisan Audi RS yang berada di pasaran:

  • Audi TT RS Coupé dan Roadster
  • Audi RS 3 Sportback dan Saloon
  • Audi RS 4 Avant
  • Audi RS 5 Coupé
  • Audi RS 5 Sportback

Jika ada yang berkenan hendak merasa enjin lima silinder atau V10, cari sahaja di dalam laman jual beli kenderaan atau berkunjung ke bilik pameran kereta recond.

Harga yang ditawarkan juga sekuat kuasa enjin, daripada RM100 ribu lebih sehinggalah RM500 ribu!

Tags
Google ads
Back to top button