
PERLUMBAAN INDYCAR. NAMPAK SAMA DENGAN F1, TAPI TAK SAMA
Perlumbaan F1 dengan IndyCar adalah 2 contoh perlumbaan open wheel single seater terbesar di dunia. Open wheel di sini merujuk kepada tayar jentera perlumbaan yang terdedah dan tidak dilindungi oleh komponen kenderaan. Salah satu kelebihan open wheel ialah ia memberi peluang kepada pemandu untuk melihat sudut tayar ketika memasuki selekoh dalam perlumbaan
Walaupun IndyCar dan F1 kelihatan hampir sama, namun sebenarnya ia menggunakan peraturan atau formula yang berbeza antara satu sama lain. Sebab dah banyak artikel berkenaan dengan F1, maka hari ini kita sembang berkenaan pelumbaan IndyCar
1. Tidak seperti F1 yang menggunakan cesi serta enjin yang berlainan, unit enjin dan kit aerodinamik dibekalkan oleh 2 pengeluar iaitu Honda ataupun Chevrolet. Dalam F1 unit enjin dibekalkan oleh Ferrari, Mercedes, Renault ataupun Honda. Semua pasukan F1 boleh menala semula kit aerodinamik mengikut keperluan masing-masing
2. Siri perlumbaan IndyCar merangkumi 17 perlumaan di Amerika sahaja dengan penyertaan dari 24 pelumba dan boleh meningkat sehingga 33 pemandu bagi perlumbaan di Indianapolis 500. Setiap pasukan boleh menghantar sehingga 6 jentera perlumbaan atau minima satu jentera.

3. Pemandu dari pasukan yang sama tidak semestinya akan berkongsi livery atau corak hiasan perlumbaan yang sama antara satu sama lain baik dari segi sut perlumbaan ataupun digunakan pada jentera. Sesetengah pelumba boleh menggunakan warna yang berbeza-beza bagi setiap perlumbaan
3. Cesi yang digunakan oleh semua pasukan ialah gentian karbon Dallara DW12, dan pasukan boleh memilih untuk menggunakan samaada enjin 2200cc V6 turbo berkembar yang dibekalkan oleh Chevrolet ataupun Honda. Enjin ini menghasilkan sekitar 550-700 kuasa kuda bergantung pada boost turbo yang digunakan dan litar perlumbaan
4. Pada tahun 2023, saiz enjin akan dibesarkan sehingga 2400cc serta elemen Kinetic Energy Recovery System ataupun KERS akan digunakan. Secara keseluruhan peraturan baru ini menyaksikan kuasa enjin akan meningkat sehingga 900 kuasa kuda.
5. Transmisi yang digunakan ialah transmisi 6 kelajuan semi automatik dengan 1 gear mengundur. Transmisi ini boleh dikawal dengan alat kawalan di stering (paddle shift) dan dibekalkan oleh X-trac Limited. Semua kuasa akan dihantar ke tayar belakang dari enjin yang berada di tengah cesi

6. Semua tayar akan dibekalkan oleh syarikat Firestone dengan adunan tayar dibuat berdasarkan keadaan cuaca setempat, tayar slick untuk cuaca kering dan tayar basah untuk kegunaan hujan. Di litar oval, tayar basah tidak boleh digunakan langsung manakala di litar jalanan, semua jenis tayar kering dan basah mesti digunakan sekali dalam perlumbaan
7. Sistem brek dibekalkan oleh Brembo namun bilangan piston yang digunakan pada brake caliper bergantung kepada litar perlumbaan. Setiap pasukan dibenarkan untuk menghasilkan komponen sendiri seperti brake ducts dan penyerap hentakan mengikut keperluan perlumbaan
8. Spesifikasi jentera perlumbaan juga sentiasa berubah-ubah disebabkan IndyCar berlumba di pelbagai jenis litar termasuklah litar jalanan serta litar oval berkelajuan tinggi. Di setiap litar, pasukan akan menala semula kuasa enjin, brek, kit aerodinamik serta berat keseluruhan jentera
Di litar jalanan dan litar oval berat jentera biasa dihadkan menjadi 730kg. Di litar berkelajuan tinggi, berat jentera dikurangkan menjadi 716kg serta penggunaan front wing dan rear wing akan diminimakan bagi mengurangkan geseran.

9. Sama seperti F1, IndyCar membenarkan penggunaan boost tambahan sebanyak 60 kuasa kuda bagi tujuan memotong atau mempertahankan kedudukan. Apabila butang boost tambahan ini ditekan, ia akan diaktifkan sehingga 15 saat untuk penggunaan maksimum.
10. Pemandu dan pasukan juga perlu merangka strategi pengisian semula bahan api kerana ia merupakan elemen penting perlumbaan. Sekiranya perlu pemandu perlu berhati-hati dalam menggunakan bahan api dengan merangka strategi 2 atau 3 kali pengisian bahan api setiap perlumbaan. Secara purata pengisian bahan api mengambil masa 6-10 saat
11. Dalam aspek keselamatan, aeroscreen diperkenalkan dalam perlumbaan IndyCar sama seperti peranti Halo yang dipasang pada jentera F1. Tujuan aeroscreen ialah mengelakkan hentaman terus serpihan dari litar terkena pada kepala pemandu
12. Walaupun jentera IndyCar lebih ringan sebanyak 20kg, namun ia lebih perlahan daripada F1 disebabkan jentera IndyCar adalah lebih pendek sebanyak 70cm. Semakin panjang jentera, semakin banyak peluang untuk memperbaiki aliran udara bagi tujuan aerodinamik.

Sebagai contoh di Circuit of America di Texas, masa terpantas untuk menghabiskan satu pusingan dalam jentera F1 ialah 1:32.029 manakala jentera IndyCar mengambil masa 1:46.018
13. Berbanding dengan jentera F1 yang menggunakan stering kuasa, IndyCar tidak menggunakan stering kuasa dan pemandu perlu menggunakan kudrat mereka untuk mengawal jentera ketika berlumba
Walaupun jentera F1 dan IndyCar kelihatan sama, tapi dari segi aspek teknikal kedua dua jentera ini adalah berbeza antara satu sama lain. Jentera F1 lebih menekankan penggunaan jentera yang sama bagi mengharungi semua perlumbaan dengan penekanan kepada pembangunan teknologi dan inovasi