Buletin

PERMINTAAN PERALATAN AUTO, SEMIKONDUKTOR BERKURANGAN DI JEPUN – MEROSOT 10.1 PERATUS

Kilang pengeluaran semikonduktor dan peralatan auto di Jepun menghadapi situasi sukar apabila permintaan dari luar negara semakin berkurangan.

Sebaliknya, jualan runcit mencatatkan pertumbuhan terpantas dalam tempoh hampir dua tahun, meningkat 6.3 peratus pada Januari berbanding tahun sebelumnya, mengatasi ramalan pasaran median keuntungan 4.0 peratus. Ia juga mencatatkan pertumbuhan terbaik sejak Mei 2021.

“Pengeluaran eksport yang lemah dan pemulihan dalam penggunaan terus menjadi dua fokus utama ekonomi Jepun,” kata ketua ekonomi di Institut Penyelidikan Ekonomi Itochu, Atsushi Takeda.

Pengeluaran kilang jatuh 4.6 peratus pada Januari berbanding sebulan sebelumnya dan penurunan itu jauh lebih besar berbanding ramalan median ahli ekonomi mengenai kemerosotan iaitu 2.6 peratus.

Ia menandakan penurunan mendadak sejak kemerosotan sebanyak 7.5 peratus pada Mei 2022, akibat daripada penutupan COVID-19 di China sekaligus mengganggu rantaian bekalan pengeluar Jepun.

Pengeluaran produk auto telah merosot 10.1 peratus, mengheret indeks keseluruhan lebih rendah manakala pembuatan barangan seperti jentera pengeluaran serta alat ganti elektronik masing-masing turun 13.5 peratus dan 4.2 peratus.

Walaupun pengeluaran berkurangan, jualan runcit kereta meningkat 19.3 peratus tahun ke tahun, menunjukkan permintaan yang kukuh dalam kalangan pengguna domestik disebabkan oleh kelewatan penghantaran.

Ekonomi Jepun, merupakan ketiga terbesar di dunia, bagaimanapun dijangka mencatatkan keuntungan tahunan sebanyak 1.4 peratus pada Januari-Mac menurut tinjauan Reuters, selepas pertumbuhan 0.6 peratus lebih rendah daripada jangkaan pada suku akhir 2022.

Google ads
Back to top button