HYUNDAI DEDAH FOTO RASMI HYUNDAI ELANTRA 2024 FACELIFT – BAKAL TIBA DI MALAYSIA?
Hyundai Elantra 2024 facelift atau dikenali sebagai Avante telah pun dilancarkan di Korea Selatan baru-baru ini dengan penampilan lebih sporty. Menurut laporan Automachi, model itu berkemungkinan tiba di Malaysia pada tahun ini.
Menerusi foto rasmi yang didedahkan oleh Hyundai, model facelift ini tiba dengan reka bentuk lampu utama yang lebih tajam, sementara struktur jeriji pula telah dibahagikan kepada dua, menjadikan sedan ini tampil lebih garang.
Di bahagian belakang, bagaimanapun tiada perubahan ketara selain sentuhan pada bampar yang dipadankan dengan struktur diffuser palsu diikuti dengan penambahan elemen warna perak untuk membawa kesan visual lebih menarik.
Bagi bahagian dalaman pula, memandangkan Hyundai hanya mengeluarkan foto untuk satu bahagian sahaja, maka apa yang kita boleh lihat ialah model ini akan menggunakan tempat duduk kulit kelabu-hijau serba baharu, selain terdapat nama Avante di bahagian sisi tempat duduk.
Reka bentuk kabin masih sama, dengan papan pemuka menampilkan paparan instrumen digital 10.25 inci dan sistem infotainmen 8 inci, sama seperti yang ada di model semasa Elantra Malaysia.
Dari segi kuasa, Elantra di Korea Selatan ditawarkan dalam pelbagai konfigurasi berbeza, termasuk unit petrol NA Smartstream 1.6 liter, menampilkan 121Hp dan tork 154Nm dipadankan dengan kotak gear IVT. Unit ini merupakan satu-satunya pilihan enjin dan transmisi yang ditawarkan di Malaysia.
Menurut data, ia hanya mengambil masa 10.7 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j serta ditawarkan dengan pilihan empat mod pemanduan iaitu Smart, Normal, Eco dan Sport.
Oleh kerana Hyundai hanya mengeluarkan beberapa gambar rasmi dengan maklumat begitu terhad, setidaknya kita boleh berharap model facelift ini akan mendarat di Malaysia memandangkan tahun ini masih berbaki 10 bulan lagi. – Automachi
- BACA: HYUNDAI TAWAR KEMAS KINI PERISIAN BAHARU SECARA PERCUMA – ATASI MASALAH KECURIAN
- BACA: HYUNDAI PALISADE FACELIFT 2023 KINI DI MALAYSIA. 2 PILIHAN ENJIN, 4 VARIAN, BERMULA RM369K
- BACA: LEBIH PERINCIAN HYUNDAI KONA 2024 DIDEDAHKAN, ADA VARIAN HIBRID 1.6L 139 HP, 265 Nm
- BACA: PESAING PERODUA ALZA DAN TOYOTA VELOZ, HYUNDAI STARGAZER MUNCUL DI MALAYSIA. HARGA LEBIH RM100K?