Buletin

PERODUA CATAT PERKONGSIAN PASARAN TERTINGGI, 35.7% PADA 2016

Sepanjang tahun 2016, Perodua dilapor telah berjaya menjual sebanyak 207,100 unit kenderaan. Angka itu mewakili 35.7 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) iaitu sebanyak 579,600 unit. Sekali gus mencatat perkongsian pasaran paling tinggi dalam sejarah Perodua.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh dalam majlis Rebiu Prestasi Tahun 2016 dan makan tengah hari sempena sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur.

Selari dengan perkongsian pasaran tersebut, Perodua juga menjadi jenama automotif pilihan pengguna tempatan untuk 11 tahun berturut-turut.

BACA: SUV MAMPU MILIK – PERODUA KEMBARA, LASAK & BOLEH DIHARAP

Di sebalik cabaran berikutan pasaran yang agak suram pada tahun 2016, Bezza dan Alza tetap menjadi model nombor satu dalam segmen masing-masing. Walaupun hanya dilancarkan pada Julai, lebih 36,000 Bezza berjaya dijual pada tahun lalu. Ini menjadikannya kompak sedan nombor satu dalam segmen A.

Pasaran yang mencabar itu banyak disumbang oleh persaingan sengit daipada jenama lain, kuasa membeli pengguna yang kian rendah serta syarat pinjaman kenderaan lebih ketat oleh institusi kewangan.

Menyentuh tentang TIV, Perodua menjangkakan pasaran akan tumbuh sekitar dua peratus kepada 590,000 unit pada tahun 2017. Berdasarkan kepada jangkaan ini, Perodua mensasarkan untuk menguasai 34 pertus pasaran atau menjual 202,000 unit kenderaan pada tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Perodua mencatat pertumbuhan dari segi jumlah ekport sebanyak enam peratus kepada 4,700 unit pada tahun lalu. Lebih 60 peratus eksport kenderaannya melibatkan pasaran Indonesia.

Mengenai pertumbuhan perolehan pula, Perodua akan lebih fokus kepada aspek selepas jualan. Pelaburan yang lebih banyak ke atas perniagaan selepas jualan nyata memberi kesan positif apabila tahun 2016 mencatat rekod dengan lebih dua juta kenderaan mengunjungi pusat servis Perodua di seluruh negara.

Dengan pengambilan servis itu, Perodua merekodkan perolehan sebanyak RM682 juta, berbanding RM600 juta pada tahun 2015.

Produksi kenderaan Perodua merekodkan penurunan kepada 213,000 pada tahun 2016 berbanding 229,000 unit pada tahun sebelumnya. Penurunan itu berikutan kurangnya permintaan pada tahun 2016.

BACA: KENARI YRV – MUJUR PRTS MOVE DAH MAKIN MURAH

“Untuk tahun 2017, kami menjangkakan produksi akan diturunkan kepada 197,000 unit kenderaan, selari dengan sasaran jualan kami pada tahun ini,” kata Aminar.

Google ads
Back to top button