Buletin

PERODUA DAFTAR 1,025 UNIT ARUZ SEHARI – CATAT 8,000 TEMPAHAN SETAKAT INI

Perodua mengumumkan bahawa ia telah menjual lebih 20,100 kenderaan pada bulan pertama tahun ini.

Ia juga berjaya mendaftarkan sebanyak 1,025 unit Aruz – satu permulaan yang baik bagi tahun 2019.

“Walaupun berlaku sedikit kelewatan dalam proses pendaftaran Aruz, kami mampu memaksimumkan penyerahan Aruz dalam jangka masa yang singkat demi memanfaatkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Dato’ Dr. Zahari Husin.

Masih lagi menunggu jumlah rasmi daripada MAA, Perodua menganggarkan penguasaan pasaran sebanyak 41.7 peratus pada Januari 2019. Ini merupakan pertumbuhan sebanyak 9.2 peratus atau 18,400 unit kenderaan yang dijual pada Disember 2018.

Berbanding tempoh sama tahun lalu, Perodua telah menjual 20,100 unit atau lebih 13.6% pada Januari tahun ini berbanding 17,700 unit pada Januari 2018.

Walaupun Aruz mendapat respon yang baik dengan tempahan sebanyak 8,000 unit setakat ini, model-model lain juga diterima baik dengan lebih 19,000 unit telah didaftarkan pada Januari.

Permintaan yang tinggi untuk Aruz telah meningkatkan tempoh menunggu terutama bagi varian AV.

Pada masa ini, komposisi pesanan bagi Aruz adalah 85% untuk varian Advance dan baki 15% adalah varian X.

“Mengenai spekulasi peningkatan harga bagi Perodua Aruz, saya ingin menjelaskan bahawa kami akan mengekalkan harga Aruz iaitu RM72,900 untuk varian X dan RM77,900 (Advance),” jelas Zahari.

Bagi permintaan model-model lain, jualan amat memberangsangkan di mana Myvi yang masih mengungguli dengan lebih 8,400 unit dijual pada Januari.

Model-model lain turut mengungguli segmen masing-masing dengan Axia, Bezza dan Alza dijual lebih 5,500 unit, 3,400 unit dan 1,600 unit pada bulan Januari.

Google ads
Back to top button