Buletin

ANDA DAH BERSEDIA? MITSUBISHI XPANDER SAH MASUK MALAYSIA TAHUN INI.

Nampaknya persaingan segmen SUV/MPV/crossover tujuh kerusi segmen B semakin meriah tahun ini. Menurut maklumat yang kami perolehi, Mitsubishi Motors Malaysia akan memperkenalkan Xpander ke pasaran Malaysia dalam tahun ini.

Perbincangan masih dijalankan untuk menentukan tarikh sebenar MPV ini akan diperkenalkan kerana masih tertakluk kepada beberapa faktor. Antaranya ialah pemilihan varian dan juga opsyen unit pemasangan yang masih dibincangkan dengan pengeluar utama- Mitsubishi Indonesia.

Xpander adalah rangkaian SUV kecil terbaru Mitsubishi yang dipasang di Indonesia dan dieksport ke Thailand dan Filipina.

Buat masa ini, Mitsubishi Malaysia menggunakan kemudahan kilang pemasangan milik Nissan (Edaran Tan CHong Motor) untuk memasang model Outlander dan juga ASX.

Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi nampaknya cuba untuk terus “menggempur” segmen B yang menjadi teras pasaran di negara-negara Asia Tenggara dan seperkara yang menarik dari maklumat yang kami terima juga, ETCM juga mungkin akan menjual rangkaian yang sama menggunakan lencana Nissan Livina.

Nissan nampaknya mahu memanfaatkan fasiliti dalam kumpulan perniagaan ini. Menggunakan Xpander sebagai gantian Grand Livina generasi ketiga adalah langkah menjimatkan kos yang cukup besar.

Xpander didatangkan dengan beberapa varian. KIta dapat menjangkakan hanya transmisi automatik berspesifikasi tinggi yang akan dipasarkan di Malaysia.

Sebagai model lebih tinggi, XPander turut didatangkan dengan varian GT yang dilengkapi pelbagai ciri tambahan seperti kamera undur, lampu kabus, komponen krom, paparan multi-makluman, skrin sentuh warna bersaiz 4.2 inci, kawalan jelajah dan arahan suara.

Selain itu, lampu corong pendingin hawa untuk penumpang belakang, spoiler belakang dengan lampu LED, dua beg udara, tempat duduk dibalut kulit dan indikator eco turut disediakan.

Xpander hanya didatangkan dengan satu pilihan enjin iaitu enjin petrol bersesaran 1.5 liter berkuasa 105hp dan tork 141Nm yang dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan.

Google ads
Back to top button