Buletin

PERODUA LANCAR KEMPEN KEMALANGAN SIFAR – LIBATKAN 10,300 KAKITANGAN DI SELURUH NEGARA

Perodua semalam melancarkan Kempen Kemalangan Sifar untuk 10,300 pekerjanya di seluruh negara.

Ini merupakan fasa seterusnya selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya pada Oktober 2017 untuk membantu mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

Di bawah kempen tersebut, Perodua mensasarkan kemalangan jalan raya sifar yang melibatkan kakitangan pergi dan pulang dari tempat kerja masing-masing. Selain kemalangan industri sifar semasa menjalankan tugas menjelang tahun 2021.

“Kempen Kemalangan Sifar Perodua ini merupakan inisiatif pertama khas buat semua kakitangan kami. Ia melibatkan bahagian pengeluaran, jualan dan selepas jualan, agar mereka boleh menjadi contoh pemandu baik dan berhemah,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

Kempen Kemalangan Sifar Perodua disokong oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Kedua-dua organisasi ini berada di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Walaupun isu pengurangan dan penghapusan kemalangan industri memang menjadi tumpuan utama Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, kami kini memperluaskan tumpuan kepada aspek perjalanan di luar premis kami.

“Kami percaya bahawa penyemaian tabiat pemanduan yang baik bermula dari rumah. Perodua akan sentiasa mendidik kakitangan tentang keselamatan serta menjadi pemandu yang bertanggungjawab supaya mereka boleh menjadi contoh terbaik buat semua,” kata Aminar.

Kempen Kemalangan Sifar Perodua akan dilancarkan secara berperingkat bermula dari 13hb Ogos hingga akhir tahun.

Inisiatif itu bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya dengan mendidik para pemandu tentang kepentingan memahami dan mematuhi peraturan asas jalan raya.

Misalnya memakai tali pinggang keledar, menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak, menyalakan lampu isyarat membelok serta tidak leka dengan peranti mudah alih semasa memandu.

Google ads
Back to top button