
PERODUA MUNGKIN AKAN BANGUNKAN MYVI GT
Perodua hari ini mengesahkan bahawa pihaknya sedang dalam usaha untuk membangunkan model Myvi yang lebih sporty, dikenali sebagai Myvi GT.
Myvi GT yang dipamerkan pada acara Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS 2018) itu nyata mendapat maklum balas positif daripada pengguna.

“Kami sekarang memang sedang berusaha bagaimana untuk hasilkan Myvi GT yang lebih mampu milik. Ini kerana kalau dilihat pada model konsep yang dipamerkan pada KLIMS 2019, komponen yang digunakan adalah mahal.
“Jadi, kami mahu hasilkan komponen Myvi GT yang lebih murah tetapi dengan konsep yang sama agar dapat dimiliki oleh pengguna. Apa pun, kami akan umumkan perkembangannya nanti,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., datuk Dr. Zahari Husin.

Untuk rekod, Myvi GT tampil dengan pelbagai aksesori seperti suspensi aftermarket, brek Brembo empat pot pada roda hadapan dan dua pot di belakang. Ia juga dipasang dengan kemasan warna merah pada skirting, lips dan apron belakang.
Untuk bahagian kabin pula, ia dilengkapi sepasang tempat duduk jenis bucket, stereng sports dan kemasan gentian karbon.