Buletin

PERODUA ONLINE BOOKING: CARA MUDAH TEMPAH KERETA BAHARU SECARA DIGITAL

Dalam usaha untuk memudahkan pelanggan, Perodua telah memperkenalkan sistem tempahan dalam talian iaitu Perodua Online Booking (POB). Ia membolehkan anda menempah kereta baharu tanpa perlu hadir ke bilik pameran.

Proses ini dijalankan sepenuhnya dalam talian melalui laman web rasmi Perodua dan memberi kemudahan serta fleksibiliti kepada pelanggan.

Terma dan Syarat Tempahan Dalam Talian

Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau tempahan berganda, Perodua menetapkan bahawa setiap pelanggan hanya boleh menempah satu kenderaan pada satu masa.

Ini bagi memastikan sistem tempahan kekal efisien dan mengelakkan sebarang pertindihan dalam proses pendaftaran.

Bagi pelanggan bukan warganegara Malaysia, terdapat perbezaan dalam yuran pendaftaran yang dikenakan, mengikut keperluan pihak berkuasa.

Bayaran Tempahan Boleh Dikembalikan

Satu aspek yang menarik dalam sistem tempahan Perodua adalah bayaran tempahan sebanyak RM100 itu boleh dikembalikan. Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan oleh Perodua.

Pelanggan juga diberi kebebasan untuk membuat perubahan terhadap varian model dan warna kereta yang dipilih selepas tempahan dibuat.

Proses Tempahan dalam Masa Nyata

Tempahan yang dilakukan melalui laman web akan diproses serta-merta. Kemudian, pelanggan akan dihubungi oleh Penasihat Jualan (SA) dalam tempoh 24 jam untuk mengesahkan maklumat tempahan.

Jika bercadang untuk mendapatkan pinjaman sewa beli, pihak bank akan menghubungi anda untuk pengesahan.

Perodua juga menawarkan perkhidmatan tukar beli sebagai sebahagian daripada ciri tempahan dalam talian. Ini bermakna, pelanggan boleh menggunakan kereta lama mereka sebagai sebahagian daripada bayaran untuk kereta baharu.

Langkah-Langkah Tempahan Secara Dalam Talian

Untuk memulakan proses, pelanggan hanya perlu melayari laman web rasmi Perodua di www.perodua.com.my

Pilih model yang diinginkan di bawah tab ‘Our Models’ dan klik ‘Book Now’. Bayaran tempahan RM100 boleh dilakukan melalui FPX. Seterusnya, anda hanya perlu mengisi butiran peribadi serta memilih bilik pameran dan SA pilihan anda.

Sebaik sahaja pembayaran selesai, anda akan menerima resit melalui e-mel dan boleh menjejaki status tempahan melalui aplikasi UFirst.

Bagi mereka yang belum menjadi ahli UFirst, SA akan menguruskan proses tandatangan dokumen dalam masa 24 jam.

Walau bagaimanapun, adalah digalakkan untuk memuat turun aplikasi tersebut kerana ia akan membantu sepanjang tempoh pemilikan kenderaan anda.

Tidak Perlu Risau Tentang Tempoh Menunggu

Satu perkara penting yang perlu diingat adalah tempahan dalam talian tidak akan memendekkan tempoh menunggu kereta anda.

Semua tempahan, sama ada dibuat di bilik pameran atau secara dalam talian, tertakluk kepada tempoh menunggu di bilik pameran yang dipilih.

Jadi, jika anda sudah membuat tempahan di bilik pameran fizikal, pastikan tidak membuat tempahan berganda dalam talian kerana sistem tidak akan membenarkan pelanggan melakukannya.

Sekiranya anda mahu membuat tempahan tambahan, anda perlu berbincang dengan SA atau bilik pameran.

Perodua Kekal Komited dengan Perkhidmatan Pelanggan

Walaupun sistem tempahan dalam talian ini menawarkan kemudahan, Perodua tidak mengabaikan peranan penting SA dan bilik pameran.

Tempahan dalam talian ini bukanlah usaha untuk menggantikan bilik pameran, sebaliknya bertujuan untuk melengkapkan pengalaman pelanggan.

Perodua Online Booking (POB) memberikan peluang kepada pelanggan untuk menempah kereta dari mana sahaja, namun masih memberi sentuhan peribadi melalui penglibatan SA yang akan membantu dari awal proses sehingga kereta diserahkan.

Google ads
Back to top button