Buletin

PERODUA OPTIMIS CAPAI SASARAN JUALAN 202K TAHUN INI – AXIA PALING LAKU, 32.6K UNIT

Perodua hari ini mengumumkan bahawa ia telah berjaya menjual 99,700 unit kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama 2017. 

Ini merupakan kenaikan sebanyak 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 97,400 unit. Perodua Axia menjadi model nombor satu buat Perodua pada tahun ini dengan 32,600 unit. Ia diikuti oleh Bezza dengan 28,300 unit, Myvi 24,000 unit dan Alza 14,700 unit.

P2 JUAL 108,500 UNIT KENDERAAN PADA 1H

Kenaikan jualan itu dibantu oleh kempen jualan agresif yang dijalankan oleh Perodua serta pengenalan model-model baharu.

“Berdasarkan kepada anggaran dalaman kami, jumlah keseluruhan industri (TIV) dari Januari hingga Jun 2017 akan mencecah 284,200 unit kenderaan. Ini bermakna penguasaan pasaran Perodua kekal sekitar 35.1 peratus,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr.) Aminar Rasdhid Salleh.

Jumlah trade in mencatat pertumbuhan 36 peratus kepada 2,600 unit (sasaran asal 24 peratus). Situasi ini disumbang oleh pengenalan model Bezza, para penilai ditempatkan di lokasi terlibat serta penambah baikan proses dalaman untuk memudahkan pembelian pelanggan.

Produksi separuh pertama 2017 turun dua peratus. Eksport juga menurun 30 peratus kerana kurangnya permintaan dari Indonesia. Untuk makluman, eksport ke Indonesia mewakili 53 peratus jumlah keseluruhan eksport Perodua.

Namun begitu, eksport pasaran lain seperti Sri Lanka naik 28 peratus dan Brunei menokok 11 peratus. Untuk enam bulan pertama 2017, Perodua telah mengeksport 1,854 unit kenderaan ke enam buah negara.

Biarpun begitu, Aminar optimis Perodua dapat mencapai sasaran jualan pada tahun ini iaitu 202,000 unit. Tahun lalu, Perodua menjual 207,100 unit kenderaan.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button