Artikel PilihanBuletin

HONDA ACCORD GENERASI KESEPULUH KINI SUDAH TIBA – GUNA ENJIN CIVIC TYPE R!

Honda nampaknya benar-benar sibuk tahun ini. Pelancaran demi pelancaran telah dilakukan dengan yang terbaru di rantau sebelah sini apabila Honda Malaysia melancarkan CR-V serba baharu pada Rabu lepas.

Dan pada Jumaat, Honda telah mempertontonkan Accord generasi kesepuluh di Amerika Syarikat. Majlis kelmarin juga adalah debut dunia untuk kereta ikonik tersebut.

Tetapi kenapa di Amerika Syarikat?

AS adalah pasaran penting untuk Honda Accord. Ia telah terjual sebanyak 13 juta unit sejak dilancarkan 41 tahun lalu.

Angka tersebut juga bermakna, rakyat AS membeli sebuah Accord dalam masa dua minit jika dihitung secara purata dari mula ia diperkenalkan di sana.

Jadi tidak hairanlah Accord adalah kereta terlaris di Amerika seterusnya menjadi lambang sukses operasi syarikat dari Jepun itu.

Berbeza dengan pengeluar lain yang merekrut pereka antarabangsa, Honda masih mengekalkan kepakaran anak watan dari Jepun. Ketua Pereka Luaran Accord ini ialah Tetsuji Morikawa manakala Ketua Pereka Dalaman pula digalas oleh Shimizu san.

Menariknya, Honda menerbangkan model tanah liat Accord dari Jepun ke AS semata-mata untuk mendapatkan ‘feel’ pencahayaan di negara itu.

Jika diperhatikan dari foto yang diberi, Accord baharu ini tampil dengan rekabentuk konservatif berbeza dengan Civic atau CR-V baharu.

Mazda CX30

Ia adalah kerana Honda mahu mengekalkan asas utama yang menjadikan Accord sebuah Accord. Ciri-ciri asas kereta itu ialah kualiti, ketahanan, penjimatan bahan api dan keseronokan pemanduan. Pada masa yang sama juga, Honda mahu menyuntik elemen baharu seperti permainan emosi dan penampilan premium seterusnya mengangkat Accord ke satu tahap lebih tinggi.

Dan konsep yang sama seperti Civic baharu dikitar semula, kereta tradisional tetapi penuh dengan elemen baharu yang mengoncang pesaing lain dalam segmennya.

Di bawah ialah fakta mengenai Honda Accord generasi kesepuluh untuk pasaran AS;

Varian dan rekabentuk

  • Tiga varian – Touring, Sport dan Hybrid
  • Lebih rendah dan lebar – jarak roda dua inci lebih panjang manakala panjang keseluruhan pula lebih pendek
  • Ukuran itu menjadikan kedudukan (stance) Accord nampak lebih gagah dan menyumbang kepada pengendalian yang lebih dinamik
  • Rupa depan pula tidak seagresif Civic atau CR-V – tetapi Honda mengatakan ia lebih dramatik dengan lampu utama LED dan bonet yang lebih panjang dan ‘berotot’
  • Dari sisi, Accord seperti sebuah fastback dengan but yang pendek

Dalaman dan sistem multimedia

  • Kemasan dalaman menggunakan material gred tinggi dengan permukaan lembut (soft touch)
  • Meter digital dengan paparan Head-Up Display
  • Sistem paparan skrin sesentuh yang digabungkan dengan dua tombol untuk larasan suara dan menu
  • Serasi dengan Apple CarPlay™ dan Android Auto™
  • Sambungan 4G LTE Wi-Fi – pemandu juga boleh mengemas kini perisian melalui Wi-Fi

Enjin dan transmisi

  • 1.5 VTEC Turbo berkuasa 192 hp
  • Dipadankan bersama transmisi CVT atau enam kelajuan manual untuk varian Sport
  • 2.0 VTEC Turbo berkuasa 252 hp yang diubahsuai dari Civic Type-R!
  • Dipadankan bersama transmisi 10 kelajuan automatik – pertama seumpamanya untuk kereta pacuan roda depan seperti ini
  • Lebih mengujakan, enjin 2.0 Turbo itu turut ditawarkan dengan transmisi enam kelajuan manual
  • Keputusan itu dibuat selepas ramai peminat transmisi manual mahu ‘menyelamatkan’ ciri-ciri yang semakin berkurangan di pasaran
  • Satu lagi tawaran enjin ialah 2.0 dengan dua motor sistem hibrid

Casis dan sistem keselamatan

  • Badan Accord kini lebih ringan dan kukuh dengan kadar penggunaan besi ultra-high strength lebih tinggi dari mana-mana model Honda
  • Tiang A kini 20 peratus lebih nipis untuk pemanduan yang jelas
  • Ruang kelegaan kaki penumpang belakang hampir dua inci lebih luas
  • Dibekalkan dengan suspensi boleh suai (adaptive)
  • Dua mod pemanduan – Normal dan Sport yang membolehkan tindakbalas suspensi dilaras mengikut pilihan mod pemanduan
  • Kesemua varian dilengkapi teknologi Honda Sensing

Walaupun sudah didedahkan secara rasmi namun Honda Accord generasi kesepuluh ini masih belum dilancarkan untuk jualan sehingga beberapa bulan lagi. Dan untuk pasaran tempatan, ia mungkin dilancarkan pada tahun hadapan.

Tags
Google ads
Back to top button