
PERODUA SUMBANG RM21,000 KEPADA 7 SURAU DI SELANGOR
Perodua melalui program Ihya Ramadan telah menyumbang wang tunai sebanyak RM21,000 kepada 7 buah surau di Selangor untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan sepanjang bulan Ramadan.
“Melalui program sebegini, kita dapat membantu institusi badan agama Islam untuk menampung program-program yang akan mereka jalankan di sepanjang bulan yang mulia ini,” kata Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.
Ihya Ramadan adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Perodua dalam usaha untuk mendekati masyarakat, khususnya melalui surau-surau berdekatan.
Surau-surau terpilih yang menerima sumbangan tersebut ialah Surau An-Nur, Bukit Beruntung; Surau Kampung Padang, Sg. Choh; Surau Hidayatul Mustaqim, Serendah; Surau Al-Ikhlas, Sg. Buaya; Surau Al-Rashidin, Bukit Beruntung; Surau As Soodiqin, Bukit Beruntung dan Surau Al-Ittihadiah, Shah Alam.
Turut hadir ialah Pengerusi Badan Agama Islam Perodua (BAIP), Noor Hashiman Sulaiman dan Ketua Hal Ehwal Agama Islam Perodua, Ustaz Fauzi Abdul Hamid.









