Buletin

PESAING HR-V DAN CH-R SUDAH TIBA – SUBARU XV 2018 SERBA BAHARU

Dalam pemerhatian kami, Subaru XV adalah model paling berjaya dipasarkan oleh Motor Image semenjak berniaga di Malaysia. Belum pernah ada model Subaru yang laris sebelum ini dibandingkan dengan XV dan semenjak diperkenalkan pada 2012, ia sudah diperbaharui dengan model facelift pada 2016.

Seperti lazimnya bagi pengeluaran kereta Jepun yang tamat selepas lima tahun, XV juga sudah hampir ke penghujung hayat pengeluarannya. Di Pameran Motor Geneva, Subaru telah memperkenalkan model generasi baru XV untuk pasaran tahun 2018 bagi menggantikan model sedia ada.

Sekali imbas, ia kelihatan seperti model MMC (Minor Model Change) berbanding FMC (full model change). Baiklah, apa yang kami difahamkan, Subaru cuba untuk mengekalkan DNA dan bahasa badan XV sedia ada. Namun pembinaan model baru ini adalah berdasarkan platform baru 100 peratus.

Kerangka XV baru ini telah diperkuatkan lebih 70 peratus berbanding model sekarang. Penambahbaikan ditumpukan pada bahagian suspensi, pengendalian terutamanya kawalan stereng dan juga nisbah gear.

Enjin 2.0 liter masih dikekalkan namun menurut Subaru ia kini didatangkan dengan 80 peratus bahagian yang diperbaharui. Kuasa dapat dipertingkatkan 2hp berbanding model terdahulu (154hp kepada 156hp). Sistem transmisi Linetronic tujuh kelajuan AWD sedia ada juga telah dipertingkatkan.

Mod pemanduan baru telah ditambah. Dikenali dengan X-Mode, ia membolehkan komputer mengawal keseluruhan operasi dari enjin, sistem pacuan AWD dan brek untuk mengendalikan kenderaan ketika kereta hilang kawalan.

Dari segi keselamatan, XV turut dilengkapi teknologi EyeSight, dengan Pre-Collision Braking Control, Adaptive Cruise Control dan Lane Keep Assist, High Beam Assist serta Subaru Rear Vehicle Detection.

BACA: EKZOS ROWEN UNTUK SUBARU STi

BACA: SUBARU WRX DAN WRX STi 2018

 

 

 

 

Google ads
Back to top button