Buletin

BERTEKAK SEBAB PARKIR KERETA, DUA JIRAN DIPANGGIL POLIS

Perselisihan faham di antara dua jiran di Subang Permai, Subang Jaya pada Sabtu lalu yang tular di media sosial berpunca mengenai isu parkir kenderaan. Insiden tersebut menyebabkan kesesakan di laluan perumahan terbabit.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu melibatkan dua lelaki iaitu seorang warga tempatan berusia 34 dan warga Bangladesh berusia 43.

Merek berdua dikatakan bertengkar, saling memarahi dan memaki hamun dengan perkataan kurang sopan dan suara yang kuat. Namun,  tiada kata ugutan atau hingga menyebabkan kecederaan berlaku.

“Semasa insiden itu, kedua-dua pihak juga telah merakam video kejadian dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing,” kata Abd Khalid.

Salah satu pihak telah memuat naik video pertengkaran yang berdurasi selama dua minit 29 saat ke media sosial Facebook melalui laman ‘Aduan Rakyat Malaysia’. Video itu kemudian dikongsi beberapa kali sehingga menyebabkannya tular sebelum ia dipadam.

Polis juga telah menerima laporan daripada dua individu terbabit dan mereka telah dipanggil untuk melengkapkan siasatan. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jelas Abd Khalid, pihaknya memandang serius kejadian sedemikian dan meminta orang ramai supaya bersabar dalam apa jua keadaan selain tidak melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang.

“Sekiranya terkesan sesuatu yang dirasakan tidak betul, sila laporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis juga ingin memberi nasihat kepada warga netizen supaya tidak menyebarkan sebarang video atau memberi komen yang boleh menyentuh atau mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sekiranya didapati bersalah, hukuman denda adalah sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Sinar Harian 

Google ads
Back to top button