Buletin

PEUGEOT 208R2, KERETA RALI ENJIN KECIL 3 SILINDER

Satu kelebihan dalam dunia perlumbaan rali ialah kepelbagaian kelas kereta yang digunakan.

Anda boleh menggunakan kereta spesifikasi penuh WRC atau kelas yang lebih mesra perbelanjaan seperti Group R (1 hingga 5 dan RGT).

Di dalam kelas tersebut kereta R2 dan R1 berada dalam kategori paling munasabah, di antara syarat wajib ialah pacuan dua roda (2WD), enjin 927cc hingga 1600cc dan jumlah unit homologasi sebanyak 2,500 unit.

Syarat seperti ini memudahkan pengeluar untuk menawarkan unit rali untuk dibeli oleh pelumba atau pasukan persendirian.

Tanpa melengahkan masa Peugeot mengambil kesempatan tersebut untuk membangunkan model rali 208R2.

Peugeot 208 sebenarnya baru sangat dilancarkan iaitu di Geneva pada Mac lalu dan ini menunjukkan Peugeot Sport pantas membuat kerja.

Peugeot 208 menggunakan enjin 1.2 liter PureTech turbo seterusnya layak untuk kategori FIA R2C.

208R2 bakal menggalas tugas penting kerana ia bakal menggantikan kereta rali paling laris pernah dikeluarkan Peugeot Sport dan model terlaris dalam kategori R2 dengan lebih 450 unit dikeluarkan.

Projek rali ini sebenarnya telah dijalankan oleh jurutera Peugeot Sport sejak musim panas tahun lepas lagi.

Tugas yang diberikan kepada jurutera Peugeot Sport adalah jelas iaitu menghasilkan kereta rali yang seronok dipandu dan kos penggunaan serendah mungkin.

Hasil ujian pertama mendapati objektif tersebut berjaya dicapai.

Sama seperti model jalanan, Peugeot 208R2 dilengkapi enjin 1.2 liter turbo tiga silinder PureTech.

Enjin yang sudah sedia berkuasa ditingkatkan lagi melalui penggunaan turbo lebih besar, sistem pengurusan enjin untuk perlumbaan dan kotak gear baharu.

Memandangkan kereta ini masih dalam ujian pembangunan tidak banyak butiran seperti kuasa enjin didedahkan.

Berkenaan harga pula, kereta rali R2 biasanya berada di dalam lingkungan GBP 40,000 (RM 216,307) hingga GBP 52,000 (RM 281,199).

Peugeot 208R2 akan disiapkan untuk musim rali tahun 2020.

*1 GBP = RM 5.407

Tags
Google ads
Back to top button