Buletin

FERRARI CATAT JUALAN Q1 TERBAIK DENGAN 2,610 UNIT – TERIMA KASIH KEPADA PORTOFINO

Tidak seperti Lamborghini yang terpaksa bergantung kepada Urus untuk meningkatkan jualan di pasaran global, Ferrari nampaknya mencatat keputusan baik biarpun tidak mempunyai SUV dalam portfolio produknya.

Model SUV Ferrari, Purosangue masih memerlukan beberapa tahun untuk disiapkan dan dijangka meningkatkan perolehan jenama mewah tersebut.

Pada suku pertama tahun ini, pengeluar kenderaan dari Itali itu sudahpun menyerahkan 2,610 unit kereta. Naik 23 peratus atau 482 unit berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kenaikan itu banyak disumbangkan oleh model paling murah Ferrari, Portofino. Secara keseluruhannya, jualan model berenjin V8 naik 30.6 peratus, manakala jentera dengan enjin V12 menokok sebanyak 4.1 peratus.

“Statistik ini berikutan volume yang rendah daripada keluarga 488 di mana model 488 GTB dan 488 Spider kini sudah berada di akhir kitaran hayatnya. Model 488 Pista dan 488 Pista Spider pula akan tiba di pasaran tidak lama lagi.

“Prestasi jualan model V12 diterajui oleh model 812 Superfast,” jelas Ferrari.

Pertumbuhan jualan yang signifikan itu dilihat berlaku di seluruh dunia. Di Amerika misalnya, jualan naik 26.5 peratus, sementara rantau Eropah, Asia Barat dan Afrika naik 9.6 peratus.

Tetapi angka itu masih kecil jika dibandingkan dengan jualan di China, Hong dan Taiwan yang mencatatkan kenaikan sehingga 79.2 peratus.

Ferrari juga menambah pendapatannya dalam tiga bulan terawal tahun ini menerusi alat ganti dan enjin. Perolehan kasar Ferrari yang berakhir pad 31 Mac menokok kepada €940 juta (RM4.4 bilion), naik 13.1 peratus.

Tags
Google ads
Back to top button