Buletin

PHS AUTOMOTIVE MALAYSIA KINI PENGEDAR RASMI AUDI

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini mengumumkan ketibaannya ke pasaran Malaysia selaku pengedar rasmi kenderaan jenama Audi.

Dimiliki sepenuhnya oleh pakar automotif Eropah, Porsche Holding Salzburg (PHS), PHSAM akan bertanggungjawab dari segi jualan, pemasaran dan selepas jualan kenderaan Audi di Malaysia.

PHSAM diketuai oleh dua orang Pengarah Urusan iaitu Erik Winter dan Kurt Leitner yang turut memegang jawatan sama di Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).

Mereka bertanggungjawab menaikkan jenama Volkswagen di sini, termasuklah mengembangkan model pemasangan tempatan (CKD).

“Kami komited untuk mengembangkan jenama Audi di Malaysia. Memandangkan ia mempunyai ramai peminat setia, maka potensi di pasaran ini memang bagus. Fokus kami adalah untuk mengukuhkan rangkaian model SUV, S line, quattro dan model elektrifikasi,” kata Erik.

Rangkaian produk sedia ada Audi termasuklah A5, A7, Q3, Q5, Q8 dan model berprestasi tinggi RS.

Proses pengurusan kini sudahpun berjalan dengan keutamaan diberikan ke atas aspek perkhidmatan selepas jualan dan menambah baik rangkaian pengedar sedia ada.  

Kenderaan Audi yang dibeli bermula 1 Julai akan hadir bersama jaminan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun, serta penyelenggaraan percuma selama tiga tahun.

Google ads
Back to top button