Buletin

PLUS AKAN GUNA DRON PANTAU TRAFIK SEMASA CNY

Pengendali lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dilapor akan menggunakan teknologi terkini termasuklah dron untuk memantau pergerakan trafik terutama di lokasi-lokasi kritikal sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini. 

Inisiatif itu menjadi langkah terbaharu PLUS dalam menerapkan penggunaan teknologi dan kejuruteraan termaju demi keselesaan pengguna. 

“Selain mengoptimumkan penggunaan media sosial, PLUS juga akan menggunakan teknologi canggih seperti dron,” kata Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif. 

Pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini, PLUS menjangkakan jumlah pengguna lebuh raya akan meningkat kepada 2 juta kenderaan, naik 18 peratus berbanding hari biasa. 

“Berdasarkan pola dan kajian, kami menjangkakan jumlah kenderaan akan meningkat kepada tahap tertinggi pada 22, 23, 24, 27, 28 dan 31 Januari serta 1 Februari ini. Kami perlu bersedia untuk menjaga pelanggan dengan baik melalui pelbagai inisiatif untuk melancarkan perjalanan mereka,” katanya.

Justeru, seramai  5,000 kakitangan dan rakan strategik agensi penguat kuasa seperti polis, bomba, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan di lebuh raya untuk melancarkan perjalanan.

Hebahan trafik juga akan dibuat secara berterusan menggunakan pelbagai saluran komunikasi secara maksimum bagi membolehkan pelanggan mengelak kesesakan dan membuat keputusan perjalanan yang terbaik. 

Antara inisiatif lain yang akan dijalankan oleh PLUS ialah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), laluan kontra dan menghentikan kerja-kerja penyelenggaraan.

Lorong tambah nilai di plaza tol juga akan ditutup sementara mulai 22 Januari hingga 2 Februari. tetapi, orang masih boleh menambah nilai kad Touch N Go mereka di lebih 11,000 pusat tambah nilai di seluruh negara. 

sumber: Berita Harian

Google ads
Back to top button