Buletin

PMX LANCAR PROGRAM PEMBAHARUAN TEKSI MADANI, TAMBAH RM10 JUTA BANTU PEMANDU MILIKI PROTON S70

Kerajaan hari ini melancarkan Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional sebagai usaha memperkukuh semula industri teksi tempatan menerusi penggunaan kenderaan lebih moden, selamat dan selesa.

Majlis peluncuran program itu disempurnakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, kerajaan turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi memperkukuh pembangunan industri teksi negara.

Menurut Anwar, dana berkenaan akan digunakan bagi memperluaskan skim penggunaan Proton S70 sebagai teksi baharu selain membantu mengurangkan kos operasi yang ditanggung pemandu.

Beliau berkata, kerjasama dengan pihak berkaitan termasuk pengurangan kos penyelenggaraan, pembaikan, servis dan pembiayaan pinjaman dijangka mampu meningkatkan pendapatan pemandu antara RM5,000 hingga RM7,000.

“Kerajaan sudah meneliti pelbagai aspek bagi mengurangkan beban ditanggung pemandu teksi,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Inisiatif pembaharuan teksi itu diumumkan susulan Belanjawan 2026 yang menawarkan pengecualian penuh duti eksais serta cukai jualan kepada pemilik teksi dan kereta sewa persendirian bagi pembelian kenderaan baharu buatan nasional.

Langkah itu dilihat mampu mengurangkan kos pemilikan kenderaan baharu selain mempercepatkan proses pembaharuan armada teksi di seluruh negara.

Program diterajui Kementerian Pengangkutan (MOT) itu turut membuka peluang kepada pemandu teksi untuk beralih kepada penggunaan kenderaan yang lebih berkualiti dan efisien.

Selain meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pemandu serta penumpang, usaha itu juga dijangka membantu memperbaiki imej perkhidmatan teksi sebagai antara komponen penting dalam sistem pengangkutan awam negara.

Pelaksanaan program berkenaan dijayakan menerusi kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta termasuk PROTON bersama sokongan DRB-HICOM melalui EON-Avis dan EON-Tras.

Institusi kewangan turut menyediakan pelbagai pilihan pembiayaan fleksibel bagi membantu pemandu teksi memiliki kenderaan baharu mengikut kemampuan masing-masing.

Melalui inisiatif itu, pemandu dijangka menikmati kos penyelenggaraan lebih rendah selain pengalaman pemanduan lebih selesa dan selamat.

Pengguna pula bakal menerima manfaat daripada mutu perkhidmatan teksi yang lebih baik dan diyakini selaras usaha kerajaan memperkasakan pengangkutan awam yang mampan.

Google ads
Back to top button