Buletin

POLESTAR MAHU BINA KERETA SENDIRI – JENAMA ASING DARI VOLVO

Volvo Cars, pengeluar kereta premium dari Sweden mengumumkan bahawa Polestar yang merupakan sayap kereta berprestasi Volvo akan menggalas tugas lebih besar. Polestar akan mejadi jenama primer dengan menghasilkan kereta berprestasi yang dikuasakan oleh tenaga elektrik.

Pengeluar membangunkan sesebuah jenama lain bukanlah suatu yang asing malah ia merupakan amalan industri. Sebagai contoh Daimler mengeluarkan kenderaan Smart, Toyota dengan Lexus, Hyundai dengan Genesis atau Nissan dengan Infiniti.

Cuma bezanya dengan Volvo ialah apabila Polestar bakal hadir dengan kenderaan tenaga elektrik. Atau contoh mirip ialah BMW melalui siri kenderaan i seperti i8, i5 dan i3.

Bagi menggalas tugas ini, Volvo Cars telah melantik Thomas Ingenlath, Naib Presiden Kanan Rekabentuk Volvo sebagai Ketua Pegawai Operasi Polestar. Ingenlath ialah tokoh rekabentuk Volvo masakini, ibarat Peter Schreyer kepada Kia.

Tugas Ketua Pegawai Operasi pula ditanggung jawab kepada Jonathan Goodman yang merupakan Naib Presiden Kanan, Komunikasi Korporat Volvo Cars.

Polestar baru sahaja menyertai Volvo Cars apabila 100 peratus saham dimiliki sepenuhnya pada tahun 2015. Kedua-dua syarikat itu walau bagaimanapun telah bekerjasama dalam sukan permotoran sejak 1996 lagi.

Dengan tugas baharu, Polestar akan mengeluarkan kereta dengan jenamanya sendiri berbanding Volvo sekarang ini. Polestar tetap akan mengeluarkan pakej naiktaraf kenderaan Volvo tetapi di bawah penjenamaan Polestar Engineered.

Polestar juga akan mempunyai sinergi kejuruteraan dan teknologi dengan Volvo Cars selain turut mempunyai skala ekonomi hasil perkongsian dengan Volvo. Hubungan itu membolehkan Polestar merekabentuk serta membangunkan kereta berprestasi yang dijanakan oleh tenaga elektrik setara atau lebih dari produk sama di pasaran.

Memandangkan projek ini masih baharu, Polestar akan berkongsi lebih lanjut tentang produk mereka serta butiran lanjut dalam masa beberapa bulan lagi.

BACA: VOLVO S40 CONVERT EVO 5!

BACA: MODIFIKASI RETRO: VOLVO 245 WAGON TURBO

Google ads
Back to top button