Modifikasi

HONDA CIVIC EP3 TYPE-R DAN INI PULA KEGILAAN MUGEN

Selepas model lincah EK9 dihentikan, peminat Civic dan Type R dihidangkan pula dengan model EP3 yang lebih moden. Diasaskan dari Civic Si generasi ketujuh untuk pasaran Eropah (EDM), ia dibina oleh Honda UK di Swindon, tapi menerima enjin K20A yang telah siap dipertingkatkan dari Honda Jepun.

Lepas siap dipasang, ia kembali dieksport ke Jepun sebagai unit CBU sepenuhnya. Pelik? Tak jugak, sebab Civic FN2, FK2 dan beberapa model lain seperti Accord Euro R juga dibuat dengan cara yang sama.

BACA: HONDA CIVIC TYPE-R 2017, 300BHP!

Kerana jumlah yang dibawa masuk agak terhad, kita lebih terdedah kepada model Civic ES atau Integra DC5 sebagai pilihan kepada peminat Type R. Belum sempat EP3 ni nak popular, pasaran tempatan diserang pulak dengan model CBU FD2R. Dah jadi gitu, lagi rare la jadinya. Sampaikan pengimport kereta terpakai pun pikir banyak kali nak bawak masuk.

Antara yang berpeluang memiliki model rare ini ialah Iskandar. Bukan saja rare, ia juga telah dimanjakan dengan komponen keluaran Mugen di sana-sini. Minat benar, sampaikan skru yang ikat nombor plet tu pun Hirotoshi Honda yang punya. Kalau ada yang kurang nampak, meh kita tinjau satu-satu…

Kelibatnya sebagai hatchback 2-pintu yang pelik, sudah cukup untuk menarik perhatian ramai. Tak perlu tampal stiker tak tentu hala dan ia terus kekal dengan imej sleek seperti yang sepatutnya. Sebagai tingkat taraf kepada sektor aerodinamik, terdapat 3 komponen utama yang dipasang iaitu lips depan, grill dan spoiler boleh laras dari Mugen.

Civic EP3 didatangkan dengan sistem suspensi jenis Mac Pherson yang lebih ringkas. Is cuba meningkatkan kemampuan pengendalian kereta ini, menerusi pemasangan set suspensi Mugen Showa.

Begitu juga dengan sistem hentian yang menerima sepasang kaliper brek Mugen di bahagian depan beserta rotor dari Project MU. Sebagai pelengkap, bahagian roda diisi rim Mugen MF10 berukuran 17-inci, sebelum disaluti tayar gigit Bridgestone Potenza bersaiz 225/45ZR-17 setiap satu.

Kereta ini datang dengan enjin K20A i-VTEC spesifikasi JDM, yang mampu menghamburkan kuasa sekitar 215 PS. Tinggi jugalah untuk semua mesin aspirasi biasa.

Ia telah diimbang sepenuhnya, memiliki binaan manifold kemasukan dan ekzos yang berbeza, camshaft berprofil tinggi, piston dengan nisbah tekanan tinggi, serta unit ECU yang telah diprogram semula.

Dengan kelebihan tersebut, Is belum berhajat untuk mengusik enjin ini tanpa usul periksa. Belum meragam katanya, akan datang tak tau ler. Yang ada cuma beberapa aksesori Mugen seperti kotak udara, penutup minyak enjin dan penutup radiator bertekanan tinggi.

Paling ngilu, Is berjaya mendapatkan unit ECU Mugen yang tidak memiliki sebarang had untuk tujuan talaan.

Kotak transmisi mengandungi unit LSD  helical serta flywheel jenis chrome-moly yang sedia ringan. Ia dicekapkan lagi dengan penggunaan set klac loceng dari OS Giken. Bagi mengekalkan imejnya yang malu-malu kucing, sistem ekzos telah dihubungkan kepada sebuah muffler jenis twin loop dari Mugen.

Identiti dalaman kekal dengan tema merah Type R, sambil dihiasi aksesori Mugen untuk tombol gear, stereng dan cermin pandang belakang. Tinggal tempat duduknya ajer yang belum Mugen.

Terpaksalah Is berpuas hati dengan set Recaro Integra DC5 buat sementara waktu. Meter-meter tambahan memang kurang perlu, kecuali penggunaan unit VSD dari Defi-Link.

Walaupun dibayangi kehebatan model-model terkini, memiliki sebuah kereta yang rare seperti ini sebenarnya lebih memberi kepuasan. Nak kasi bagus boleh jer bikin. Tapi status, bukan sesuatu yang boleh dijual beli.

Nampak…Nampak…

BACA: HONDA JAZZ? BUKAN, INI EP3 TYPE-R

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button