Artikel Pilihan

VOLK RACING TE37 – TAK PERNAH TAK LAWA

Sejak bertahun lamanya, rim terlajak popular TE37 merupakan antara yang kerap mendapat tempat di kalangan pemilik kenderaan mahupun peminat modifikasi. Mula diperkenalkan pada tahun 1996 oleh Rays Co. Ltd. (Rays Engineering), ia adalah rim berprestasi tinggi di bawah siri Volk Racing, yang sesuai digunakan untuk aplikasi jalanan dan sukan permotoran.

Apa yang menyebabkan rim aluminium forged 6 jejari ini begitu istimewa? Terdapat dua ciri utama yang difokuskan semasa proses pembangunannya iaitu berat yang ringan serta ketegaran yang maksimum. Untuk itu, ia telah ditempa dari blok aluminium jenis A6061-T6 yang dihasilkan sendiri oleh Rays. Secara perbandingan, penggunaan material ini membolehkan rim Volk Racing TE37 menahan impak dan regangan hampir 20% lebih tinggi berbanding rim aluminium lain.

Nama TE37 itu juga mempunyai makna yang tersendiri. TE bermaksud ‘Touring Evolution’ yang menekankan pembangunan berterusan, hasil maklum balas dan data yang diterima daripada pasukan lumba yang menggunakan rim ini. Sementara nombor 37 itu pula merupakan berat sasaran (3.7kg) untuk model permulaan bersaiz 15”x6JJ.

BACA: TOYOTA VELLFIRE G’S SPORT- KERANA DIRIMU BEGITU BERHARGA

Sesuai dengan falsafah evolusi yang ditekankan, pembangunan rim Volk Racing TE37 tidak pernah terhenti dan masih berterusan. Selain model asal yang sudah berusia 20 tahun, Rays turut membangunkan beberapa varian yang lebih baik. Antaranya siri Ultra, TTA (Tokyo Time Attack), SL (Super Lap), V (Vintage), RT (Rigid Tune), Gravel, Saga, Sonic, SB, X, KCR dan lain-lain.

Berapa nilai yang perlu dibayar untuk satu set rim Volk Racing TE37 yang legit? Ketika trend rim replika, copy ori, cutting ori, gred AAA mula berleluasa, hanya peminat tegar saja yang sanggup membayar RM18,000 untuk set baru bersaiz 20-inci…

-PAK MAUN-

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button