PORSCHE 911 2025 BAKAL DILANCARKAN – KALI INI DENGAN NADI HIBRID
Tidak dapat dinafikan 911 merupakan model Porsche paling ikonik dan masih mampu mengekalkan rekaan asal sehingga kini. Model terbaru 911 untuk pasaran 2025 bakal dilancarkan pada 28 Mei ini dan Porsche sudah mengesahkan yang satu perubahan besar telah dilakukan. Kini 911 dikuasakan nadi hibrid. Tak kisahlah janji jangan EV.
Frank Moser, Timbalan Presiden Barisan Model 911 dan 718 berkata ini adalah kali pertama dalam sejarah 911 sepanjang 61 tahun ia akan diperkenalkan dengan sistem hibrid. Sistem hibrid yang inovatif ini bakal jadikan 911 baru lebih dinamik.
Menariknya sistem hibrid ini bukannya dilengkapkan pada model berasingan tapi ia bakal digunakan terus pada model Carrera buat permulaannya. Bukan macam Porsche Taycan yang diwujudkan khas untuk platform EV.
Spesifikasi teknikal belum didedahkan oleh Porsche tapi kami tahun yang ia bukannya PHEV sebaliknya Porsche menamakan sistem mereka sebagai “performance hybrid”. Jentera baharu ini juga telah membuat pecutan 8.7 saat lebih pantas berbanding Carrera S 992 sedia ada di litar Nurburgring.
Rekod tersebut dicipta menggunakan 992.2 yang dilengkapi dengan tayar jalanan standard dan Aerokit pilihan yang antara lain termasuklah sayap yang besar gedabak di belakang. Tonton video yang disertakan dan anda akan dapat menyaksikan dua varian yang berbeza, satu dengan spoiler dan satu lagi tanpa spoiler. Haih dua-dua cun melecun la pulak.
Jorg Bergmeister, pemandu penguji Porsche menyatakan yang jentera yang dipandu mereka kini mempunyai lebih cengkaman, lebih kuasa dan respon yang lebih spontan dari sistem hibrid. Best tu.
Model terbaru ini akan dilancarkan pada 28 Mei ini dan ia sebenarnya sudah pun dipandu uji sejauh 3.1 juta batu perjalanan. Peh… bukan calang-calang punya ujian ni. Kalau nak saksikan pelancarannya, nantikan sahaja di saluran Youtube Porsche 28 haribulan nanti.