Buletin

BMW F 900 R DAN BMW F 900 XR 2025, LEBIH RINGAN, CIRI ASAS BERTAMBAH

BMW F 900 R dan F 900 XR menerima naik taraf untuk model 2025. Perubahan merangkumi naik taraf teknikal dan gayaan serta ciri-ciri asas yang bertambah.

Enjin 895 cc dua silinder sebaris pada kedua-dua model menghasilkan 105 bhp dan mengikut piawaian Euro 5+.

Mod Dynamic menerima talaan baharu untuk lebih keseronokan tunggangan. Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) dijadikan ciri asas untuk keselamatan semasa memecut.

Kawalan daya kilas seretan enjin juga ciri asas dan menghalang gelinciran roda belakang akibat daripada pelepasan pendikit atau penurunan gear secara mengejut.

Untuk bunyi enjin lebih garang, peredam ekzos BMW Motorrad dengan kerjasama Akrapovič boleh dipesan semasa pembelian dan menjimatkan berat sekitar 1.2 kilogram (kg).

Kedua-dua model dilengkapi sepit udang teleskopik terbalik baharu dengan diameter 43 milimeter (mm).

Lantunan dan redaman (rebound and compression) dan prabeban pegas kini boleh dilaras untuk kesesuaian penunggang.

Rim aluminium tuang 17 inci baharu 1.8 kg lebih ringan berbanding sebelum ini dan secara keseluruhan menurunkan berat sebanyak 3 kg. Bateri juga diberi perhatian dan 0.8 kg lebih ringan.

BMW Motorrad ABS Pro turut tersenarai di dalam ciri asas baharu. Berbanding BMW Motorrad ABS, sistem ini juga berfungsi semasa membrek di selekoh melalui pembrekan bantuan ABS.

Kawalan Brek Dinamik (DBC) pula berfungsi dengan menghalang pecutan tidak sengaja ketika membrek di dalam keadaan sukar.

Dari segi rekaan, bahagian belakang dilengkapi lampu dengan nyalaan yang disatukan pada lampu isyarat.

Untuk BMW F 900 XR, lampu Headlight Pro terdiri daripada lampu nyalaan siang dan lampu boleh suai supaya lebih selamat pada waktu malam.

Lagi kelengkapan asas seperti port pengecasan USB-C dan pemegang pendikit dengan pemanas.

Penahan angin baharu mengurangkan tekanan angin pada penunggang dan membantu mengurangkan gegaran pada topi keledar dan lebih selesa. Pelindung tangan juga memberi perlindungan angin dan cuaca.

BMW F 900 R pula mempunyai kedudukan tunggangan baharu. Hendal, perehat kaki dan tuas kaki dengan segitiga ergonomik di antara hendal, pelana dan perehat telah direka semula.

Rekaan baharu membolehkan gaya tunggangan lebih sporti dan lebih dekat dengan roda depan. Dari segi gaya, panel sisi lampu dibuat mengikut warna badan.

BMW F 900 R ditawarkan dalam tiga warna mengikut varian iaitu Snapper Rocks Blue Metallic bagi versi asas, Blackstorm Metallic untuk Triple Black dan Sport dalam warna Lightwhite dengan Racingblue Metallic.

BMW F 900 XR pula dalam warna Racing Red dan dua lagi varian sama seperti F 900 R.

BMW F 900 R

BMW F 900 XR

Google ads
Back to top button