Buletin

PORSCHE PANAMERA GENERASI KEDUA – BERMULA RM890,000 SEUNIT

Sime Darby Auto Performance (SDAP) semalam memperkenalkan kereta sport salon berprestasi tinggi, Porsche Panamera baharu.

Panamera generasi kedua itu tampil denngan pelbagai bentuk penambahbaikan, sekali gus menjadikannya lebih menarik berbanding model terdahulu. Untuk makluman, panamera mula diperkenalkan ke pasaran dunia pada tahun 2009.

Jentera mewah empat pintu tersebut ditawarkan dalam dua varian iaitu Panamera dan Panamera 4S. Harganya bermula RM890,000 (Panamera) dan RM1.1 juta bagi Panamera S. Harga termasuk duti tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

Untuk memberi ketenangan minda kepada pemiliknya, kedua-dua varian itu hadir bersama jaminan selama empat tahun dan pakej penyelenggaraan percuma melibatkan servis, alat ganti dan kos buruh.

Ketua Pegawai Eksekutif SDAP, Arnt Bayer menyatakan bahawa Panamera ialah model terbaik dalam rangkaian model Porsche yang telah menetapkan penanda aras baru dari segi fungsi dan rekaan.

Panamera dibina berasaskan kepada rekaan model 911. Bagi menawarkan pengendalian yang mantap, ia dilengkapi sistem pacuan semua roda dan kotak gear klac berkembar automatik lapan kelajuan PDK.

Panamera 4S dikuasakan oleh enjin 2.9 liter V6 turbo berkembar. Enjin itu berupaya menghasilkan kuasa maksimum 440hp pada 5,650rpm meningkat 20hp berbanding model sebelum ini.

Enjin enam silinder itu turut memberi kuasa tork 550Nm pada 1,750 hingga 5,500rpm. Kuasa itu membolehkan Panamera 4S mencatat kelajuan maksimum 289km/j dan 0 hingga 100km/j dalam dalam masa cuma 4.4 saat.

Sementara Panamera pula dijana oleh unit enjin V6 pancitan terus bahan api berkuasa 330hp. Ini merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding ejnjin aspirasi biasa yang digunakan pada model terdahulu.

Bahagian kabinnya mengetengahkan rekaan Porsche Advanced Cockpit. Sebaik sahaja masuk ke dalamnya, anda akan mendapati butang kawalan konvensional telah ditukar dengan skrin sentuh yang lebih moden untuk pemandu dan penumpang. Susun atur takometer yang diletakkan di tengah-tengah kluster instrumen merupakan tribut kepada model Porsche 356 A tahun 1955.

Dari segi keselamatan, Panamera dilengkapi sistem bantuan pemandu yang komprehensif. Antaranya ialah bantuan pandangan waktu malam yang menggunakan kamera pengimajan thermal untuk mengesan manusia dan haiwan.

Bukan itu sahaja, Panamera kini hadir dengan komponen aluminium sepenuhnya pada bahagian tepi badan dan bonetnya.

“Porsche sentiasa membuktikan keupayaannya. Bukan sahaja dari segi kuasa, malah merangkumi aspek kecekapan, hasil daripada rekaan semula enjin untuk memberikan kuasa terbaik, lebih jimat dan kurang emisi,” jelas Bayer.

BACA: VIDEO INI MUNGKIN BUATKAN ANDA RASA NAK BEKERJA DENGAN PORSCHE

BACA: PORSCHE SENTUHAN PERTAMA RAUH-WELT BEGRIFF(RWB) UNTUK DIJUAL

GALERI

Google ads
Back to top button