Buletin

KONFLIK TIMUR TENGAH CETUS PANIK DI INDONESIA, STESEN MINYAK DISERBU

Beberapa stesen minyak di Kota Medan, Sumatera Utara dilaporkan dipenuhi kenderaan apabila orang ramai berpusu-pusu mendapatkan bahan bakar minyak (BBM) kerana bimbang berlaku kekurangan bekalan.

Situasi itu mula berlaku sejak petang Khamis apabila barisan kenderaan dilihat semakin panjang di beberapa Stasiun Pengisian Bahan Bakar Umum (SPBU), malah ada yang beratur hingga keluar dari kawasan stesen minyak.

Lebih mengejutkan, barisan tersebut turut melibatkan pembelian BBM bukan bersubsidi yang sebelum ini jarang mengalami kesesakan. Ada pengguna yang terpaksa menunggu berjam-jam sebelum dapat mengisi minyak.

Seorang penduduk tempatan, Johni, berkata kebimbangan masyarakat terhadap kemungkinan kekurangan bekalan minyak menjadi faktor utama orang ramai menyerbu stesen minyak.

Menurutnya, maklumat yang tular di media sosial berkaitan isu bekalan minyak menyebabkan ramai pengguna berasa cemas dan memilih untuk mengisi minyak lebih awal.

“Saya rasa ia lebih kepada rasa takut orang ramai mengenai bekalan minyak. Apa yang tersebar di media sosial membuatkan masyarakat bimbang akan berlaku kekurangan BBM. Setakat ini saya tidak pasti sama ada benar-benar berlaku kekurangan,” katanya seperti dipetik daripada laporan KompasTV.

Fenomena sama turut dilaporkan di Kabupaten Jember, Jawa Timur apabila barisan panjang motosikal dan kereta dilihat di sebuah SPBU di Jalan Gajah Mada, Kaliwates.

Barisan kenderaan yang panjang itu turut melimpah ke jalan utama sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Seorang pemandu kereta dikenali sebagai Ashar berkata, ramai pengguna mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengisi minyak kerana bimbang bekalan akan terjejas.

Menurut laporan, situasi panik tersebut dipercayai berkait dengan kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia, yang memaklumkan stok BBM negara itu dianggarkan mampu bertahan sekitar 25 hari sahaja.

Kenyataan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap potensi gangguan bekalan tenaga global sekiranya konflik di Timur Tengah berlarutan.

Google ads
Back to top button