Buletin

PRESIDEN MEXICO CUBA JUAL PESAWAT MEWAH. MAHU GUNA WANG BELI PERALATAN PERUBATAN

Mexico dilapor cuba untuk menjual sebuah pesawat presiden mewah kepada Kanada. Jika Kanada tidak berminat, pesawat itu akan dijual secara cabutan loteri.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Mexico, Andrés Manuel López Obrador. Langkah menjual pesawat itu dilihat sebagai usaha terdesak untuk melupuskan pesawat Boeing 787 Dreamliner yang dilihat sebagai satu pembaziran.  

Pesawat itu dibeli pada harga lebih AS$200 juta (RM816 juta) oleh presiden terdahulu.

“Kami difahamkan bahawa pesawat Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengalami masalah. Jadi kami ingin menawarkan pesawat ini kepada mereka, tetapi belum ada sebarang persetujuan lagi.

“Apa yang pasti, pesawat ini lebih besar dan mewah daripada pesawat PM Kanada sekarang,” katanya.

Mexico dikatakan sudi menerima tawaran AS$130 juta (RM530 juta) untuk pesawat berkenaan.

Pada masa yang sama, López Obrador turut menunjukkan tiket seperti loteri yang akan dikeluarkan sekiranya pesawat itu gagal dijual. Beliau berharap pemilik perniagaan akan membeli tiket loteri yang berharga AS$25 (RM102) sekeping itu dalam jumlah yang banyak.  

Kerajaan berharap dapat menjual 6 juta keping tiket dan menggunakan wang itu untuk membeli peralatan perubatan.  

Dilihat sebagai projek gajah putih, pesawat itu disifatkan sebagai satu sumpahan. Malah ada rakyat Mexico yang memberitahu mereka tidak mahu memenanginya.  

“Saya tidak akan membeli tiket itu. Kalau menang pun, saya tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan pesawat itu,” kata seorang warga Mexico City, Lidia Flores.

López Obrador sendiri sebenarnya ragu dengan idea tersebut. Beliau bimbang perasaan tamak dan cemburu akan memusnahkan hidup pemenang pesawat itu nanti.

Bagi segelintir orang lain pula, tiket loteri itu dianggap sebagai lencongan daripada masalah utama Mexico iaitu jenayah dan ekonomi yang tidak berkembang.

Presiden yang terkenal dengan sikap suka berjimat-cermat itu enggan memijakkan kaki ke dalam pesawat mewah berkenaan. Sebaliknya lebih gemar menaiki pesawat komersial biasa.

Menurutnya, pesawat tersebut terlalu mewah untuk sebuah negara yang mana separuh daripada rakyatnya hidup dalam kemiskinan.

Boeing 787 Dreamliner itu sudah setahun berada di sebuah landasan kapal terbang di Amerika Syarikat. Kos penyelenggaraan yang sudah mencecah AS$1.5 juta(RM6.1 juta) membuatkan tiada siapa mahu membelinya.

Pesawat yang lengkap dengan sebuah bilik presidential suite dan bilik mandi itu memang mahal untuk digunakan, selain hanya mampu membawa 80 orang penumpang.

Sebelum ini, López Obrador ada mencadangkan untuk menukar pesawat berkenaan dengan peralatan perubatan AS atau menjualnya kepada sekumpulan ahli perniagaan.

Google ads
Back to top button