,
Artikel Pilihan

JURUTERBANG TERLELAP, PESAWAT TERLAJAK LALUAN 78KM

Sebuah pesawat kargo di Australia terlajak laluan apabila juruterbangnya terlelap ketika sedang menerbangkan pesawat.

Juruterbang yang mengemudi dari Tasmania ke King Island, Australia itu dikatakan terlalu kepenatan dan terlajak 78KM dari laluan sebenarnya yang sepatutnya beliau mendarat.

Laporan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mendapati juruterbang tersebut merupakan satu-satunya individu dalam pesawat kargo Vortex Air pada 8 November 2018, berlepas dari Devonport untuk penerbangan 6:20 pagi ke King Island.

Beliau dikatakan mengaktifkan mode autopilot, mengekalkan altitud dan ketinggian pesawat dan mendengar muzik melalui radio dan terus mengawasi penerbangan.

Ketika pesawat mendekati permulaan pendaratan sepatutnya di King Island, juruterbang mula merasa letih dan tertidur.

Kawalan Lalu Lintas Udara (ATC) dan juruterbang berdekatan lain cuba menghubungi pesawat Piper PA-31-350 yang didaftarkan sebagai VH-TWU, dan apabila juruterbang bangun, dia mendapati autopilotnya telah membawa pesawat 78 kilometer ke utara dari destinasi yang sepatutnya.

Dia mendarat di King Island tanpa sebarang insiden.

ATSB melaporkan juruterbang menghubungi penyelianya dan ATC di Melbourne Centre melalui telefon untuk membincangkan apa yang telah berlaku. Juruterbang kemudian menghabiskan shift beliau, terbang dari King Island kembali ke Moorabbin.

Siasatan mendapati juruterbang itu tidak tidur selama kira-kira 24 jam sebelum kejadian dan tidak dapat tidur semasa tempoh rehat tiga jam yang dijadualkan sebelum penerbangan.

Siasatan ATSB mendapati kelemahan dalam jadual pengendali syarikat kargo tersebut. Juruterbang oleh Vortex Air sering diberi jadual penerbangan yang tidak konsisten dari minggu ke minggu dan biasanya termasuk dua hingga tiga hari penerbangan malam, dan kadangkala notis lewat diberikan kepada juruterbang.

ATSB berkata ini menjadikan sukar bagi juruterbang untuk merancang pola tidur mereka sebelum penerbangan.

Tags
Google ads
Back to top button