
WRC 2020 – THIERRY NEUVILLE MUNCUL JUARA PEMBUKA TIRAI
Kejuaraan Rali Dunia (WRC) 2020 telah pun membuka tirai minggu lepas yang berlangsung di Monte Carlo dengan pelumba pasukan Hyundai Shell Mobis, Thierry Neuville berjaya memenangi perlumbaan dalam perlumbaan yang penuh dramatik.
Kemenangan pelumba Belgium itu berjaya dirangkul pada saat akhir ketika pusingan terakhir perlumbaan yang dilangsungkan di atas pergunungan berhampiran bandar Monaco. Dua pelumba pasukan Toyota, Sebastian Ogier dan Elfyn Evans ternyata tidak berupaya untuk mengejar jentera Hyundai i20 WRC. Untuk rekod, Sebastian Ogier adalah pemenang perlumbaan di Monte Carlo untuk enam musim yang lalu.
Sudah tentu Thierry Neuville boleh berasa bangga dengan kejayaan ini apabila berjaya menamatkan kemenangan berturut pelumba Perancis tersebut. Tahun sudah beliau hanya dinafikan kemenangan dengan perbezaan 2.2 saat sahaja oleh Sebastian Ogier. Kira terbalas sudah dendam tahun lepas. Malah, keupayaan Thierry Neuville mengutip mata maksimum sewaktu peringkat Power Stage turut membuktikan kehandalan beliau.

Setidaknya kemenangan ini berjaya mengubat sedikit duka buat pasukan Hyundai setelah hero baharu mereka, Ott Tanak gagal meneruskan perlumbaa setelah kereta yang dipandunya terbabas jatuh ke gaung pada kelajuan melebihi 180 km/j. Terima kasih kepada Roll Cage yang kekal utuh walaupun bahagian hadapan kereta remuk teruk.

Sementara itu, pasukan Toyota Gazoo Racing juga sepatutnya boleh berbangga dengan prestasi pelumba mereka di awal ini apabila Sebastian Ogier dan Elfyn Evans kekal konsisten dengan posisi 1 – 3 sepanjang perlumbaan. Cumanya rezeki saat akhir berjaya memihak kepada Thierry Neuville. Sungguh pun demikian, debut kedua pelumba ini pasti memberikan sedikit keyakinan buat pasukan Toyota Gazoo untuk meneruskan aksi saingan berikutnya. Prestasi pelumba muda mereka dari Finland juga tidak mengecewakan apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kelima keseluruhan.
Tempat keempat keseluruhan pula berjaya diraih Esapekka Lappi yang turut membuat debut bersama pasukan M-Sport Ford sekaligus mencipta rekod 250 kutipan mata berturut berturut dalam penampilan WRC. Masih kekal beraksi di pentas WRC jentera jenama Ford ini.
Pusingan berikutnya bakal berlangsung Di Sweden pertengahan Februari nanti.
Kedudukan Pelumba
- Thierry Neulville – 30 mata
- Sebastian Ogier – 22 mata
- Elfyn Evans – 17 mata
Kedudukan Pengeluar
- Hyundai Shell Mobis – 35 mata
- Toyota Gazoo Racing WRT – 33 mata
- M-Sport Ford – 20 mata
BACA : WRC 2018 – THIERRY NEUVILLE MENANG DI SWEDEN
BACA : SEBASTIAN OGIER MENJUARAI RALI MONTE CARLO BUAT KALI KEENAM BERTURUT