Buletin

PRODRIVE P2 – ANDAI DIPRODUKSI, BOLEH SAINGI EVO DAN GT-R

Jentera ini sebenarnya hadir sebagai sebuah model konsep pada tahun 2006. Dibina oleh firma talaan terkenal United Kingdom Prodrive, P2 ketika itu padat dengan teknologi yang digunakan oleh kereta rali.

P2 dijana oleh rangkaian kuasa daripada Subaru. Enjin Bozer 2.0 liter flat four yang telah diubah suai itu mampu menjana kuasa sehingga 345hp. Kuasa itu kemudian disalurkan ke pacuan semua roda menerusi kotak gear enam kelajuan.

Kombinasi enjin dan transmisi itu membolehkan P2 memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma empat saat dengan kelajuan maksimum 280km/j. Ia dilengkapi sistem anti-lag sepenuhnya yang membolehkannya mempunyai karekter seperti sebuah jentera WRC sebenar.

Prototaip ini direka dan dijurutera dalam masa hanya sembilan di kemudahan Prodrive. Rekaan badan daripada material komposit yang tajam itu dihasilkan oleh Peter Stevens, individu sama yang bertanggungjawab ke atas reka bentuk jentera McLaren F1.

Walaupun tidaklah nampak begitu cantik, Prodrive lebih menitikberatkan aspek prestasi dan pengendalian P2. Chasisnya turut diambil daripada Subaru R1, sebuah model kei-kar dan bukannya platform Impreza.

Chasis kompak itu kemudian disemak semula oleh Prodrive demi memadankannya dengan rangkaian kuasa dan badan berbentuk coupe tersebut.

Apa yang perlu anda tahu, kualiti pengendalian mengagumkan P2 banyak disumbangkan oleh sistem ATD Prodrive dan rear differential.

ATD berfungsi mengawal agihan kuasa tork di antara roda hadapan dan belakang untuk mengoptimumkan pengendalian serta membantu menghilangkan masalah oversteer atau understeer.

Jika P2 diproduksi, Prodrive menyatakan bahawa ia mungkin dijual pada harga sekitar £40,000 (RM211,100) seunit. Malangnya, Prodrive memang tidak ada rancangan untuk menghasilkan P2 untuk orang awam.

Kalau tidak, inilah model yang akan menjadi pesaing utama Mitsubishi Evo dan Nissan GT-R.

Google ads
Back to top button