Buletin

PRODRIVE HUNTER – JENTERA PADANG PASIR 600 HP, HARGA RM6.88 JUTA

Sementara Porsche masih lagi mengerjakan model 911 Safari, anda boleh melihat kepada salah satu alternatif jentera off-road yang baharu sahaja dilancarkan oleh Prodrive.

Prodrive Hunter merupakan versi jentera off-road yang halal digunakan atas jalan raya dan dibangunkan berdasarkan jentera perlumbaan BRX Hunter T1+ yang digunakan dalam Rali Dakar.

Ia menggunakan jantung yang disumbangkan oleh Ford berkapasiti 3.5 liter bentangan V6, dan ditala oleh Prodrive supaya menghamburkan kuasa setinggi 600 hp dan 700 Nm.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada sistem pacuan empat roda menerusi transmisi enam nisbah kelajuan, dibantu dengan komponen differential pada bahagian depan, tengah dan juga belakang.

Pecutan 0-100 km/j hanyalah di bawah empat saat dengan kelajuan tertinggi 300 km/j.

Satu angka yang cukup menakjubkan memandangkan fizikal jentera itu sendiri yang agak tinggi dengan tayar off-road bersaiz 35 inci, atau mungkin pemandu perlu menukarkan tayar kepada versi yang lebih mesra jalan raya.

Sistem gantungan jenis double-wishbone depan dan belakang dengan peredam boleh laras itu memberikan jarak pergerakan sejauh 400 mm, di mana ia sebenarnya 50 mm lebih panjang berbanding jentera rali Dakar.

Sistem brek terdiri daripada angkup enam omboh yang dipadankan dengan cakera berliang yang diambil secara terus daripada spesifikasi jentera lumba Hunter itu sendiri.

Prodrive hanya akan menghasilkan Hunter sebanyak 25 unit sahaja dengan harga jualan bermula dari £1.25 juta (RM6.88 juta).

Google ads
Back to top button