
PROTON CATAT JUALAN 100K UNIT UNTUK TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT
PROTON mengumumkan ia telah melepasi jumlah jualan 100,000 unit untuk tahun ketiga berturut-turut. Jualan 14,187 unit untuk pasaran domestik dan eksport pada November membolehkan pengeluar kenderaan nasional itu mencatat angka jualan semasa sebanyak 100,566 unit.
Ini sekali gus meningkatkan keyakinan bahawa syarikat akan dapat mengakhiri tahun ini dengan perkembangan jualan yang positif.
Melihat kepada prestasi November secara terperinci, jualan meningkat sebanyak 6.2 peratus berbanding Oktober, seterusnya mencatatkan pertumbuhan tiga bulan berturut-turut.
Berbanding November 2020, jualan meningkat sebanyak 24.3 peratus yang membolehkan jualan semasa naik 4.3 peratus. Pegangan pasaran dianggarkan sekitar 24.5 peratus. Manakala pegangan pasaran dalam tempoh yang sama berbanding tahun lepas meningkat sebanyak 1.9 peratus dan kini berada di paras 22.8 peratus.

November merupakan bulan yang aktif bagi industri automotif Malaysia dengan pelancaran model-model baharu serta lanjutan insentif tempoh bebas cukai yang memberi keterujaan kepada pembeli kereta.
Proton Saga mencatat jualan bulanan terbaik sejak Disember 2020 dengan 5,666 unit. Ini membolehkannya untuk merampas kembali takhta jualan model terbaik di Malaysia yang kali terakhir dipegang pada September.
Ia juga kekal sebagai juara sedan segmen-A yang diharap dapat dikekalkan hingga akhir tahun ini.
Proton X50 mencatat rekod penyerahan yang cemerlang pada bulan lepas dengan 4,010 unit. Ini merupakan peningkatan yang baik kerana rekod tertingginya sebelum ini ialah 3,839 unit pada Oktober. Proton X70 pula terus berjaya mencatat jualan dengan 1,901 unit telah diserahkan kepada pelanggan.
Model-model Proton yang lain turut menunjukkan prestasi baik seperti yang diharapkan. Exora mencatat peningkatan jualan empat bulan berturut-turut dan terus mendominasi pasaran MPV segmen-C dengan 434 unit.
Isu bekalan komponen terus menghantui Proton Iriz dan Persona 2022 yang mengekang kapasiti pengeluarannya. Namun kedua-dua model itu masih mampu meraih jualan sebanyak 642 dan 1,534 unit.