" "
Pandu Uji

PANDU UJI: PROTON PERSONA MC2 NAMPAK MAHAL, TAPI RASA MAHAL?

Nama asal Persona ini sebenarnya digunakan bagi model Proton Wira yang dieksport ke luar negara satu ketika dulu. Ketika itu nama Persona tidak digunakan pada model tempatan sehinggalah pada tahun 2007. Ketika Proton Gen 2 dikeluarkan, ramai pengguna memberi maklum balas yang mereka mahukan sebuah kereta yang lebih besar.

Maka lahirlah Proton Persona yang menggunakan cesi Gen 2 tapi dengan rekaan sedan. Masalahnya ketika itu Proton turut menjual model Waja dan juga Inspira yang berada dalam segmen C. Jadi model generasi ketiga Proton Persona dilancarkan pada tahun 2016, dikemaskini pada tahun 2019 dan diberikan kemasan baru pada tahun 2021

Jadi ini antara ciri-ciri yang kami suka mengenai Proton Persona 2021 MC2 yang telah dinaiktaraf ini

1. Lampu LED Moden – Lampu utama dari jenis halogen digantikan dengan 4 unit lampu LED bagi suluhan rendah dan 2 unit LED bagi suluhan tinggi bersama dengan reflektor. Tapi ciri ini hanya dikhaskan bagi Persona varian Premium sahaja, manakala varian lain kekal menggunakan mentol halogen

Lampu ini sangat terang pada waktu malam lebih terang daripada kereta milik penulis serta dipasang dengan ciri Follow Me Home yang boleh diaktifkan dengan butang kunci kawalan jauh. Bumbung pula diberi kemasan warna hitam menjadikan Persona nampak sporti.

2. Rim 2 tona rekaan baru – dengan saiz 16 inci serta kemasan 2 tona bagi menggantikan rim 15 yang lama. Penggunaan rim 16 inci ini menaikkan profail sisi Persona dengan lebih bergaya, tak nampak katik seperti model MC1

3. Balutan kulit leatherette – dengan warna beige atau coklat terang sama seperti model Proton X70 menjadikan ruang dalaman Persona lebih luas dan mewah. Malah perehat tangan di konsol tengah juga dibalut dengan bahan yang sama menjadikan ruang dalaman nampak seragam

4. Fungsi gear CVT ditambahbaik – salah satu komen pedas kami dulu selepas memandu uji Persona 2019 ialah berkenaan unit kawalan CVT yang tidak menyediakan ciri S (P R N D L sahaja). Model 2021 memberikan pilihan gear P R N D S, cuma sayang ciri L (LOW) tidak diberikan.

5. Butang ECO – diberikan berhampiran tombol gear CVT bagi membolehkan pemandu memilih untuk memandui dengan mode ECO yang lebih menjimatkan petrol. Bacaan terbaik penulis ialah 16.2km bagi setiap liter petrol dengan halaju 110km/j

6. Tiru X50 – suis penyaman udara Persona yang lama digantikan dengan unit yang lebih moden dan mudah digunakan sama seperti Proton X50. Anda juga boleh kawal unit penyaman udara dengan skrin sesentuh pada unit multimedia

Poin USB, butang ECO, butang sensor parkir depan dan suis penyaman udara ala-ala X50

7. Skrin rekaan baru- bersaiz 8 inci bagi menggantikan skrin lama lengkap dengan ciri pandu arah, arahan suara, ramalan cuaca, dan juga muzik atas talian. Arahan suara kini boleh digunakan untuk membuka cermin sisi, penyaman udara dan sistem pandu arah

8. 6 USB poin- ada 3 poin disediakan di bawah suis penyaman udara depan, 2 untuk penumpang belakang di belakang perehat tangan dan satu lagi diletakkan di belakang cermin pandang belakang bagi tujuan pemasangan perakam video digital.

9. Pengalaman Pemanduan Proton Persona 2021

Pada harga Rm 55,800 bagi varian premium yang diuji oleh kami, Proton Persona merupakan sedan segmen B paling murah dalam pasaran. Dengan anggaran bayaran bulanan sekitar RM 580 sahaja sebulan anda masih sebuah sedan yang luas, ruang bagasi 510 untuk balik kampung serta lengkap dengan 6 beg udara serta ESC.

Tapi disebabkan penulis sudah biasa memandu Honda City dan juga Toyota Vios, maka memandu Proton Persona terasa sedikit kurang “refinement” berbanding Vios dan City. Jika dipandu pada halaju kebangsaan iaitu antara 70-100km/jam maka Persona memang sedap dibawa.

Kualiti bunyi sistem audio pun boleh tahan sedap bagi sebuah kereta yang berharga bawah Rm 60k dari 6 pembesar suara original. Kedapan bunyi telah ditambah baik dengan kadar bunyi bising sekitar 63dB pada halaju 110km/j. Kusyen yang disediakan pun boleh dikatakan selesa untuk perjalanan selama 3 jam tanpa henti.

Ia selesa, masalah CVT tersentap telah diperbetulkan, ride comfort (keselasaan) dan juga pengendalian Proton adalah antara yang boleh dipuji dalam kelasnya. Namun jika anda memandu melebihi 120km/j maka ada beberapa perkara yang mengganggu seperti:

Terpaksa pinjam gambar sebab permukaan unit multimedia terlalu bersinar, susah untuk ambil gambar

10. Getaran – wujud pada roda stering pada halaju tinggi. Getaran ini tidak wujud ketika dipandu pada halaju biasa di kawasan bandar. Apabila halaju melebihi 120km/j maka stering akan rasa bergetar sedikit. Pada pandangan penulis, ia mungkin berpunca dari unit CVT kerana Saga Auto 4 kelajuan tidak mengalami masalah ini

11. CVT tidak lancar – jika dipandu pada halaju 20-30km/j di kawasan taman. Masalah ini tidak berlaku jika kita memandu Persona pada halaju melebihi 50km/j. Malah ia langsung tidak terjadi di kawasan bandar. Hanya berlaku di kawasan taman di mana penulis perlu membrek untuk bonggol dan menekan pedal minyak semula.

12. Rim besar -penggunaan rim 16 inci memberi kesan pada ride comfort kerana unsprung mass menjadi semakin besar. Rasanya model MC1 lagi selesa

Rim besar juga memberi kesan pada penggunaan petrol dimana jika model MC1, purata penggunaan petrol ialah sekitar 16.6km/liter. Model baru ini hanya mencatatkan penggunaan sekitar 16.1km/ liter pada halaju 110- 115km/jam

13. Kualiti kamera – bagi penulis dengan julat harga ini kualiti yang ditawarkan bagus dan jelas. Tapi sayangnya ia dibantutkan dengan masalah suapan video yang tersekat sekat. Sesekali ada delay menyebabkan anda susah nak agak pergerakan kereta lain di belakang ketika mengundur.

14. Proton Persona jimat petrol? Jawapan ini sebenarnya bergantung pada cara pemanduan anda. Sekiranya anda memandu melebihi 120km/j dan ke atas, maka purata penggunaan petrol melonjak ke 11.2km/liter. Tapi kalau anda memandu secara berhemah, maka ia boleh menghasilkan sekitar 16.2km/liter

Ini dia tip nak jimat petrol dengan Persona baru

A. Pandu tak lebih 120km/h

B. Pastikan ECO indicator sentiasa menyala

C. Bawa pada halaju malar

D. RPM kena bawah 3000

E. Kena sabar walaupun Axia sedang mencucuk rapat di belakang kerana sabar itu separuh daripada iman

F. Hidupkan ECO dengan menekan butang yang berdekatan dengan tombol gear

Mungkin kalau anda bergaji besar 5ribu ke atas tidak akan jeling langsung pada Persona MC2 ini. Tapi cuba letakkan posisi anda pada rakyat biasa yang bergaji rendah tapi perlukan sebuah sedan besar pada harga mampu milik dengan pelbagai ciri moden

Maka Persona MC2 adalah jawapannya kerana pada harga RM 55,800 beza harga model ini dengan jenama lain cukup besar. Anda boleh beli sebuah lagi kereta kompak lain bagi kegunaan isteri pergi bekerja dengan perbezaan harga tersebut.

Mungkin Proton Persona MC2 bukanlah yang paling canggih, paling selamat, atau paling laju. Tapi ia sebenarnya sudah cukup untuk anda perlukan sebuah sedan mampu milik pada harga yang berpatutan dengan pelbagai ciri menarik

Google ads
Back to top button