
PROTON KEMBALI KE PASARAN AFRIKA SELATAN. LANCAR X70 DAN X50, BAKAL ADA 25 PENGEDAR DALAM TEMPOH 6 BULAN
Selepas sepuluh tahun keluar dari pasaran, PROTON kini secara rasmi kembali ke Afrika Selatan menerusi pelancaran dua model popularnya iaitu Proton X70 dan Proton X50.
Majlis pelancaran tersebut diadakan oleh pengedar rasmi Proton di Afrika Selatan, Combined Motor Holdings (CMH). Kedua-dua SUV berkenaan ditawarkan sebagai model CBU sebelum sedan Proton Saga dilancarkan pada awal tahun 2023.
“Apabila jenama Proton terbuka untuk pengedaran, CMH mengambil peluang ini atas beberapa sebab. Antaranya ialah kerana kami mendapati terdapat jurang dalam pasaran SUV yang berkualiti pada harga berpatutan. Terdapat banyak jenama mewah yang menjual SUV di Afrika Selatan, tetapi kebanyakannya tidak mampu dimiliki oleh pembeli kereta di sini.

“Kami juga merancang untuk menyediakan 25 pengedar dalam tempoh enam bulan. Sebanyak 17 cawangan pengedar telah pun menjalani latihan jualan dan teknikal.
“Rangkaian penuh alat ganti juga sudah tersedia di pusat pengedaran. Ini bermakna pelanggan boleh membeli kenderaan ini dengan yakin,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CMH, Jebb McIntosh.
Jualan eksport kekal sebagai bahagian penting dalam rancangan perniagaan PROTON. Ketika syarikat itu mahu meningkatkan penguasaan pasaran di Malaysia, PROTON juga perlu mengeksploitasi potensi di pasaran antarabangsa dalam usaha menjadi jenama automotif terkemuka di rantau ini.
Bagi tahun 2022, jualan eksport pada akhir bulan Ogos berjumlah 4,040 unit, meningkat sebanyak 33.9 peratus berbanding jumlah jualan tahun 2021. Dengan penambahan Afrika Selatan dalam senarai pasaran eksport, syarikat berharap dapat menamatkan tahun ini dengan peratusan pertumbuhan lebih tinggi.

“PROTON sedang giat mengembangkan jualan eksport kerana ia merupakan salah satu tonggak kepada peningkatan jumlah keseluruhan. Wujud banyak potensi untuk pertumbuhan dalam pasaran antarabangsa, bukan sahaja untuk jenama Proton tetapi untuk industri automotif tempatan juga.
“Justeru, kami ingin bertapak kukuh sementara pasaran ini masih boleh diakses. Matlamat kami adalah untuk mencapai 6,000 jualan eksport tahun ini. Walaupun yakin mencapai matlamat ini, kami mesti gigih berusaha untuk mengenal pasti rakan kongsi yang sesuai untuk memasuki lebih banyak negara bagi mencapai matlamat yang lebih besar pada masa hadapan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.
- BACA: YOUTUBER JUMPA PROTON PERDANA TUN M DAN KOLEKSI KERETA MEWAH BERNILAI RM5.1 JUTA DI PARKIR TERBENGKALAI
- BACA: PROTON PERDANA CUBA CABUT LARI. TAK MAMPU BAYAR KOS SERVIS DAN TUKAR EKZOS RM225
- BACA: KENAPA ENJIN PROTON X50 & PROTON X70 BERBUNYI BISING? ENJIN KANCIL PUN BISING
- BACA: PROTON LANCAR X70 2022. ENJIN BAHARU 1.5L TURBO, 5 VARIAN, HARGA BERMULA RM93,900