
PROTON PANGGIL SEMULA 94,577 UNIT EXORA, PREVE & SUPRIMA CFE
Anda pemilik Proton Exora, Preve dan Suprima S varian CFE? Jika ya, kenderaan anda mungkin termasuk dalam proses panggilan semula yang dijalankan oleh Proton.
Langkah itu diambil untuk menggantikan hos penyejuk minyak yang berkemungkinan besar akan pecah dan rosak.
Antara faktor penyebabnya adalah suhu yang tinggi melebihi 150 darjah, penggunaan aditif pemilik tidak mengikuti servis secara berkala, jenis minyak pelincir yang digunakan serta material hos itu yang menyerap bendalir.
Jumlah yang terlibat adalah 59,663 unit Exora, 28,642 Preve dan 6,290 Suprima. Para pemilik akan dihubungi oleh pihak Proton menerusi media sosial. Jadi, pelanggan yang terbabit diminta membawa kenderaan masing-masing untuk pemeriksaan dan proses penukaran hos.
“Kami akan memberi keutamaan kepada kenderaan yang sudah mencatat jarak perbatuan sekitar 40,000km. Kami akan menukar hos getah itu kepada hos besi yang lebih tahan lasak,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dato’ Abdul Harith Abdullah.
Proses penukaran semua hos ini dijangka memakan masa sehingga enam bulan. Penukaran ini akan dibuat secara percuma untuk kenderaan yang masih dalam tempoh jaminan dan pemilik mematuhi selang servis yang telah dijadualkan.