Buletin

PROTON PERSONA, IRIZ 2022 ‘JIWA’ MUDA

PROTON merupakan antara jenama cukup popular dalam kalangan pembeli automotif di dalam negara.

Kemunculan model terbaharu Persona dan Iriz 2022 merancakkan lagi pilihan jenama berkenaan dalam landskap automotif tanah air biarpun terpalit pandemik Covid-19.

Rekaan luaran kedua-dua model itu mendapat sentuhan diperbaharui dalam menampilkan rekaan lebih segar, premium dan ‘berjiwa’ muda.

Model terbaharu itu didatangkan reka bentuk bampar baharu, corak gril Infinite Weave dan Ethereal Bow dipertingkatkan serta logo Proton serba baharu berbentuk bulat.

Selain itu, ia turut hadir dengan lampu hadapan LED automatik, rim aloi bersaiz 16 inci dan lampu gabungan belakang baharu.

Proton Iriz yang memiliki All-Round Body Moulding dipadankan bumbung berwarna hitam bersama roof rail menyerlahkan lagi sisi sporty kenderaan itu.

Ruang dalaman pula, Persona dan Iriz 2022 menampilkan kemasan moden serta premium dilengkapi konsol tengah serba baharu dipadankan perehat lengan, tempat meletak cawan, unit kawalan pendingin hawa jenis digital dan sistem penapisan udara N95.

Sistem infotainmen pula didatangkan paparan lapan inci jenis terapung dengan fungsi arahan suara yang mampu mengawal sistem penghawa dingin dan tingkap sebelah pemandu.

Bahkan, ia turut menawarkan ciri-ciri seperti sambungan telefon pintar, Bluetooth dan sambungan 4G serta WiFi yang menjadi keperluan hari ini.

Dalam pada itu, Persona dan Iriz 2022 menggunakan transmisi CVT sekali gus menawarkan penggunaan bahan api yang lebih efisien.

Penggunaan CVT turut melancarkan pemanduan dan perjalanan bagi memberi keselesaan kepada pemandu serta penumpang.

Mekanika mendekati pemilik Persona 1.6 Premium CVT dan Iriz 1.6 Active CVT dalam merungkai keistimewaan model terbabit: –

Persona 1.6 Premium CVT (Mohammad Azry Abdul Rahman, 27 tahun)

MEKANIKA: Mengapa anda memilih model Proton Persona?

JAWAPAN: Ia merupakan sebuah kenderaan premium pada harga mampu milik. Selainitu, rekaan Proton Persona tampak lebih elegan dan esklusif pada bahagian luaran serta dalaman.

Ruang kabin sangat mewah dengantempat duduk dibaluti kulit leatherette berwarna perang sama seperti Proton X70.

Ia turut dilengkapi paparan infotainmen 8 inci terapung lebih moden.

MEKANIKA: Boleh terangkan mengenai infotainmen 8 inci terapung Proton Persona?

JAWAPAN: Saya tiada masalah dalam mengendalikan sistem tersebut kerana ia mesra pengguna malah sangat membantu apabila didatangkan bersama dilengkapi sambungan telefon pintar, Bluetooth dan sambungan 4G serta WiFi.

Saya merasakan ciri Bluetooth sangat berbaloi kerana memudahkan untuk menyusun muzik kegemaran apabila memandu.

Selain itu, terdapat juga kawalan suara “Hi Proton”, meningkatkan keseronokan kepada pengguna dan penumpang.

MEKANIKA: Adakah anda berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan Proton Persona?

JAWAPAN: Saya sangat berpuas hati kerana Proton Persona merupakan model menerima penarafan lima bintang ASEAN NCAP.

Model Persona 1.6 Premium CVT hadir dengan enam beg udara SRS, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) dan Sistem Kawalan Traksi (TCS).

Tidak ketinggalan sistem ABS, Bantuan Brek (BA), sensor parkir pada bahagian hadapan dan belakang serta Hill Holding Assist (HHA) dalam memudahkan pemanduan.

MEKANIKA: Bagaimana anda melihat ruang simpanan yang mampu menampung kapasiti 510L?

JAWAPAN:  Pada mulanya, saya tidak sangka ruang simpanan begitu luas dan selesa. Sekarang sudah boleh rentas negeri. Senang hendak balik ke kampung halaman ataupun bercuti.

Selain itu, bonet mampu dibuka melalui kawalan jauh.

MEKANIKA: Bagaimana anda melihat penggunaan petrol Persona 2022?

JAWAPAN: Selepas menggunakan Persona baharu ini, saya mendapati terdapat perbezaan dalam penggunaan petrol. Ia lebih menjimatkan apabila melakukan perjalanan jauh.

MEKANIKA: Adakah anda akan mengesyorkan kenderaan ini kepada orang lain?

JAWAPAN:  Kalau mereka inginkan kenderaan yang mampu menjimatkan penggunaan petrol serta rekaan premium dan selesa di bawah harga RM58,000. Inilah kenderaan yang akan saya syorkan kepada mereka.

Saya juga merasakan ia merupakan kenderaan keluarga apatah lagi akan mendirikan rumahtangga pada tahun hadapan.

Iriz 1.6 Active CVT (Nur Syahirah Ali, 25 tahun)

MEKANIKA: Mengapa anda memilih model Proton Iriz?

JAWAPAN:  Reka bentuk kompak dan sporti yang ditonjolkan Proton Iriz menjadi antara sebab saya memilih model ini.

Ia menyerlahkan penampilan untuk golongan muda malah ditawarkan pada harga sangat berpatutan bermula RM40,000.

MEKANIKA: Selepas anda menggunakan Proton Iriz, apa yang menarik tentang kenderaan ini?

JAWAPAN: Apabila memandu, saya mendapati kenderaan ini mudah dikendalikan terutama apabila berada di kawasan bandar.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan 6 port USB yang memudahkan saya untuk mengecas peranti tanpa sebarang masalah.

Bahkan, satu port USB turut didatangkan di cermin pandang yang sangat berguna untuk saya memasang peranti ‘dash-cam’ tanpa merisaukan wayar berserabut.

MEKANIKA: Apakah ciri-ciri lain yang anda gemari tentang Proton Iriz?

JAWAPAN: Proton Iriz didatangkan sensor parkir di bahagian belakang sekali gus mempermudahkan saya ketika hendak parkir.

Saya juga mendapati sistem brek yang terdapat pada kenderaan ini cukup efisien dan berkesan.

Dalam pada itu, Hill Hold Assist membantu kenderaan berhenti dengan lebih stabil pada permukaan berbukit.

MEKANIKA: Bagaimana pandangan anda mengenai ruang dalaman kenderaan ini?

JAWAPAN: Proton Iriz menampilkan rekaan moden dan terkini mengikut perkembangan semasa dengan system infotainment 8-inci terapung dengan kawalan suara Hi Proton amat saya gemari.

Saya juga mendapati paparan digital penghawa dingin Iriz sesuatu yang sangat premium.

Dari segi kompak, saya tidak berdepan sebarang masalah kerana ia mengikut cita rasa masing-masing.

MEKANIKA: Adakah anda akan mengesyorkan kenderaan ini kepada orang lain?

JAWAPAN: Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati dengan kenderaan ini. Sudah pasti saya akan memberi maklum balas positif mengenai kenderaan baharu saya.

Model Persona ditawarkan tiga varian iaitu Persona 1.6L Standard CVT, Persona 1.6L Executive CVT dan Persona 1.6L Premium CVT. Ia dijual pada harga bermula RM45,200.

Bagi model Iriz pula, tiga varian yang menjadi pilihan merupakan Iriz 1.3L Standard CVT, Iriz 1.6L Executive CVT dan Iriz 1.6L Active CVT dengan harga bermula RM40,300 (harga tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Untuk keterangan lanjut boleh mengunjungi wakil-wakil pengedar PROTON di seluruh negara atau melayari laman www.proton.com.

Google ads
Back to top button