Artikel Pilihan

PROTON PERSONA/IRIZ FACELIFT, KENAPA CVT DIKEKALKAN? KENAPA BUKAN 4AT?

Pada tahun lepas ketika melalui jalan Grik ke Jeli, penulis sempat memandu Proton Saga FLX, yang dipadankan dengan transmisi CVT keluaran Punch dan ia bukanlah pengalaman pemanduan yang menarik. Jika dibandingkan dengan transmisi CVT yang dihasilkan oleh syarikat automotif Jepun maka terlalu banyak perbezaan yang akan dirasai.

Tombol gear Saga FLX CVT ditawarkan dengan pilihan PRNDL, dan jika anda menukar kedudukan tombol daripada D kepada L ia boleh diibaratkan menukar dari gear 5 kepada gear 2 terus. Saga FLX mungkin tersentap ke depan, membuatkan imbangan weight transfer terjejas. Sangat tidak digalakkan untuk anda berbuat demikian ketika melalui selekoh

Jika dibandingkan dengan sedan lain yang dimiliki oleh penulis, ia ditawarkan dengan pilihan PRNDSL, S mungkin untuk sport (andaian penulis) tapi sebaik sahaja gear S digunakan ia menghasilkan 2 perkara:

1. weight transfer berlaku dari belakang ke dapan, membuatkan tayar depan lebih mencengkam bagus untuk selekoh

2. gear CVT berada dalam ratio rendah, sedia memberikan pecutan yang lebih berbanding biasa

Oleh kerana Saga FLX tidak diberikan pilihan S, maka untuk memecut dan memotong kereta lain pedal minyak perlu ditekan secara beransur-ansur bagi mendapatkan pecutan sekata serta perancangan rapi. Disebabkan ketika memandu Saga FLX ini penulis sedang berhambat dengan X70, menuruni bukit dan selekoh ke kanan maka penulis gunakan:

1. kaedah trail braking dengan kaki kiri dengan berhati-hati

2. angkat sedikit brek tangan di laluan lurus untuk geselkan brek dan perlahankan kenderaan.

Bukan mudah nak perlahankan kereta di laluan menuruni bukit dari 140km/j ke 90km/j dalam masa singkat.

Namun semasa memandu Proton Persona Facelift MC1 dulu, rasanya CVT yang digunakan oleh Proton Persona jauh lebih baik berbanding dengan Proton Saga FLX. Proses penghantaran kuasa dilakukan dengan lebih lancar dan fenomena rubber band effect telah diminimakan

Walaupun masih terasa sedikit tersengguk-sengguk ketika memulakan pecutan atau memandu perlahan di dalam taman, ia terasa lebih baik daripada CVT yang digunakan oleh Saga FLX. Jadi apabila gambar Proton Persona/Iriz MC2 tersebar beberapa bulan lepas, netizen membuat spekulasi bahawa transmisi 4 kelajuan automatik akan digunakan bagi mengganti transmisi CVT

Melalui temubual secara atas talian dengan Vehicle Programme Executive, En. Adzrai Aziz bin Ibrahim menegaskan transmisi CVT dipilih kerana ia masih menawarkan penggunaan bahan api yang lebih efisyen dan berpatah balik ke transmisi 4 kelajuan automatik tidak akan membantu mereka mencapai target penggunaan bahan api yang dikehendaki bagi model Persona

Menurut En. Adzrai Aziz lagi, antara calon yang sesuai untuk menggantikan transmisi CVT ialah transmisi 6 kelajuan automatik namun dihadkan dengan kekangan kos dan masa pembangunan. Pembangunan, ujian dan talaan transmisi 6 kelajuan yang baru akan memakan masa yang lebih lama daripada sepatutnya kerana ia merupakan komponen baru

Apabila model Persona MC1 diperkenalkan pada tahun 2019, banyak pembaharuan yang telah dilakukan oleh pasukan Proton terutama pada hardware transmisi CVT itu sendiri. Ini dibuktikan dengan penurunan kadar aduan daripada pelanggan berkenaan dengan CVT sebanyak 80% berbanding sebelum model MC1 diperkenalkan.

Isu rubber band effect dimana apabila pedal minyak ditekan dan RPM enjin melompat naik ke 5000 RPM dan kekal di sana sehingga menyebabkan bunyi bising yang boleh didengari dalam kabin juga telah diselesaikan oleh pasukan Proton. Step Auto Mode atau ciri SAT ini dibuat secara terbina dalam berbeza dengan CVT Saga dimana pemandu perlu menekan suis untuk mengaktifkannya

Apabila pemandu menekan pedal sehingga 70%, ECU transmisi CVT akan mengaktifkan ciri SAT ini dan meniru cara penukaran gear sama seperti transmisi automatik konvensional biasa. Bagi model lain seperti Toyota, ciri ini sudah lama digunakan. Kaedah ini akan menghindari bunyi CVT noise memasuki kabin, pecutan yang lebih lancar dan selari dengan bunyi enjin

Bagi menghasilkan operasi yang lebih lancar di permulaan lampu isyarat atau ketika berhenti, ciri Neutral Idle Control diperkenalkan pada CVT. Ia akan merendahkan idle speed, melancarkan lagi proses penghantaran kuasa serta memberikan kualiti NVH yang lebih baik ketika memandu di halaju rendah, di dalam kesesakan jalan raya serta ketika berhenti di lampu isyarat.

Fungsi S juga telah diperkenalkan pada CVT yang digunakan oleh Persona/Iriz. Menurut En. Adzrai apabila pemandu memasukkan tombol gear pada kedudukan S, CVT akan beroperasi pada ratio yang lebih rendah dan memaksa enjin untuk berputar sehingga 200-300 RPM lebih tinggi berbanding dalam kedudukan D bagi menghasilkan tork yang lebih baik.

Sedikit sebanyak ia akan memberikan kelebihan kepada dinamik pemanduan serta kawalan pemanduan yang lebih baik sama seperti yang dikehendaki oleh penulis terutama ketika selekoh, menuruni bukit dan memotong kenderaan lain. Tapi ciri Sequential Mode tidak diberikan kerana berdasarkan maklum balas, hanya sedikit sahaja pemandu yang akan menggunakan ciri tersebut selain ia melibatkan kos yang tinggi.

Bagi aspek penjimatan bahan api, sistem klac yang digunakan oleh CVT ini (Toyota dan Honda menggunakan torque converter), akan memutuskan sambungan klac daripada enjin kepada CVT apabila mengesan pemandu memilih ECO Mode pada halaju 70km/j

Sistem klac ini akan bersambung balik sebaik sahaja pedal minyak atau brek ditekan. Jadi pada pandangan penulis, apabila klac diputuskan enjin akan kekal beroperasi pada julat RPM terbaik untuk menurunkan penggunaan petrol (best BSFC). Menurut En. Adzrai, ECO Mode berupaya menjimatkan petrol sehingga 1%

Namun Persona MC2 2021 masih lagi berupaya menjimatkan bahan api sehingga 12% berbanding dengan model MC1 2019 melalui talaan ECU yang lebih baik serta penggunaan tayar ECO dengan kadar seretan golek yang lebih rendah. Persona 2021 memberikan bacaan 15.15km bagi setiap liter petrol berbanding 13.3km per liter bagi model lama

Bagi Proton Iriz Active yang menggunakan enjin 1600cc VVT yang sama, penjimatan yang berjaya dicapai ialah sekitar 7% dengan bacaan sekitar 14.285km bagi setiap liter petrol. Dalam aspek NVH iaitu gegaran, angka tersebut telah berjaya dikurangkan sedikit pada roda steering dan juga lantai platform. Malah faktor kedapan udara juga telah dipertingkatkan dengan banyak berbanding dengan model MC1

Bagi menambahkan lagi aspek keselesaan, nilai penyerap hentak telah ditala semula agar Persona/Iriz lebih selesa namun pada masa yang sama mengekalkan aspek pengendalian. Varian manual pula terpaksa digugurkan kerana permintaan terhadap varian manual semakin berkurangan, jadi lebih baik sumber tersebut dijimatkan dan digunakan untuk membaiki aspek yang lain

Buat masa ini kami masih menunggu unit pandu uji untuk media bagi menguji Proton Persona 2021 dan juga Proton Iriz 2021. Dengan harga sekitar RM 54,000 bagi Proton Iriz Active 1.6 dan RM 54,900 bagi Proton Persona Premium, kami beranggapan ia adalah alternatif pilihan kepada pemandu yang inginkan sebuah kereta segmen B pada harga mampu milik.

Google ads
Back to top button