Buletin

GEELY BOYUE X 2021. KONSEP REKAAN VISION STARBURST, RUANG KABIN LEBIH PREMIUM

Geely akhirnya memperkenalkan model Boyue X pada acara Chengdu Auto Show baru-baru ini. Dibina berasaskan kepada Boyue Pro, SUV yang dikenali sebagai Proton X70 di pasaran Malaysia itu tampil dengan rekaan luaran lebih agresif. 

Sekiranya X70 masih memakai wajah lama, Boyue X menampilkan bahasa rekaan baharu yang dikenali sebagai Energy Storm yang diangkat daripada konsep Vision Starburst. 

Perubahan tersebut boleh dilihat dengan jelas menerusi rekaan gril radiator berwarna hitam dan bentuk bampar hadapan yang kelihatan seperti spindle grill Lexus dan Dynamic Shield Mitsubishi. Perumah lampu kabus pula menerima kemasan berwarna oren.  

Dari arah sisi, Boyue X menggunakan rim bersaiz 19 inci lima jejari bersama angkup brek berwarna oren untuk kelihatan lebih sporty. Skirting sisi turut diberi kemasan berwarna oren dan bingkai cermin dihitamkan untuk memberi efek bumbung terapung. Bahagian belakang bagaimanapun tidak berubah, hanya spoiler dan antena jenis sirip jerung dihitamkan. 

Rekaan ruang kabin SUV berkenaan dikekalkan. Hanya tempat duduknya kini dibalut oleh upholsteri kulit berliang berwarna biru putih yang membuatkannya kelihatan cukup mewah.

Bukan itu sahaja, Boyue X kini dipasang dengan sistem infohibur Geely Milky Way, sistem audio Bose bersama 12 unit pembesar suara dan paddle shifter. 

Aspek ketersambungan alternatif untuk Android Auto dan Apple CarPlay di dalam kabin pula diserahkan kepada sistem Huawei HiCar.   

Boyue X masih menggunakan khidmat enjin 1.8 liter turbo berkuasa 184PS dan tork 300Nm atau enjin tiga silinder bersesaran 1.5 liter yang mampu menjana 175hp dan tork 255Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi transmisi klac berkembar atau kotak gear automatik enam kelajuan.  

GALERI

Google ads
Back to top button