Artikel PilihanBuletin

PROTON SAGA 2019. KOTAK GEAR BARU. SPEC LEBIH BAIK, HARGA LAGI MURAH!

Proton melancarkan model terbaru Saga 2019 di satu majlis yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Turut hadir ialah Dato’ Mohammad Zainal Shaari, Pengerusi DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON, Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON serta Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Harga bermula RM32,800 (Standard MT), RM35,800 (Standard AT) dan RM39,800 (Premium AT), versi terbaharu model ikonik dan terlaris PROTON ini dilengkapi dengan gaya baharu, kotak gear automatik empat kelajuan dan ciri pintar pertama di dalam kelasnya yang bukan sahaja membezakannya daripada pesaing tetapi turut meningkatkan nilainya.

Proton Saga memang sinonim dengan Proton dengan mengimbau kembali 34 tahun lalu dan tiga perubahan sepenuhnya dilakukan pada model tersebut. Saga 2019 telah diberikan rekaan terkini yang masih mengekalkan identitinya tetapi pada masa yang sama meletakkannya seiring dengan barisan model Proton lain.

Pada bahagian luar, Saga 2019 dipasangkan dengan bampar hadapan baharu dan lebih agresif bersepadu dengan lampu nyalaan siang DRL. Pada bahagian gril turut mempunyai corak infinite weave yang mula diperkenalkan melalui model Proton X70 serta Iriz dan Persona 2019.

Bampar belakang yang sama menonjol sepadan dengan bahagian hadapan dan rekaan di belakang dilengkapi dengan spoiler belakang bersepadu baharu dan nama PROTON terletak pada bahagian penutup but. Set roda aloi bersaiz 15 inci yang menampilkan rekaan baharu menyerikan lagi sentuhan akhir pada varian premium.

Di bahagian dalam pula, perubahan paling ketara dilakukan adalah pada monitor skrin sesentuh 7-inci terapung atau floating touchscreen pada model premium. Ia berfungsi mengawal sistem infotainmen danturut mempunyai sambungan Bluetooth, kapasiti penyimpanan dalaman 16GB dan sambungan telefon pintar untuk Android.

Perubahan lain termasuklah upholsteri tempat duduk baharu, panel tengah baharu, paparan kombinasi meter baharu dengan Bantuan Pemanduan Eco dan turut dilengkapi sehingga 3 pengecasan USB.

CIri lain dalam Saga 2019 ini termasuklah kunci pembuka but, pelindung matahari dengan pemegang kad dan cermin, lampu peta LED dan pemegang genggaman baharu untuk disepadankan dengan bahan yang digunakan di bahagian dalaman kereta.

Secara mekanikal, perubahan yang paling besar adalah transmisi automatik empat kelajuan baharu menggantikan CVT yang digunakan sebelum ini.

Barisan Jurutera PROTON kemudiannya membuat peningkatan pada prestasi brek, NVH serta keseimbangan pemanduan dan pengendalian disamping menambah tahap keselamatan yang berkelas dunia.

Sebagai contoh brek yang dilengkapkan pada model ini adalah sama seperti yang dipasangkan pada Proton Iriz dan Persona dengan saiz yang lebih besar manakala penggunaan kotak gear automatik empat kelajuan baharu memberikan pemandu kawalan yang lebih baik.

ABS UNTUK KESEMUA VARIAN

Ciri-ciri keselamatan pada model ini terdiri daripada Brek Anti Kekunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) untuk ketiga-tiga varian yang turut dilengkapi dengan beg udara depan, sensor tempat letak kereta belakang dan titik penahan ISOFIX dengan top tethers.

Tambahan pada varian Premium adalah Bantuan Kawalan Cerun, sensor hadapan, kamera undur dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS). Dengan pertambahan ciri-ciri keselamatan ini, Saga 2019 menjadi satu-satunya kereta yang berharga kurang daripada RM40,000 dilengkapi ESC dan TCS.

Pakej yang memberikan nilai tambahan kepada pembeli Saga Sama seperti Proton X70, Iriz, Persona dan Exora 2019, Saga baharu ini menawarkan pakej Nilai Tambahan atau Extra Value. Terdapat tiga pakej Nilai Tambahan standard yang bermula dengan pakej servis yang menawarkan kos buruh percuma sebanyak tiga kali atau selama satu tahun.

Bukan itu sahaja, pakej kadar faedah dengan kadar pembiayaan serendah 2.98% setahun kini lebih menarik.

Digabungkan dengan pengurangan harga dan nilai ciri-ciri baharu yang diperkenalkan dalam setiap varian, Saga 2019 Premium AT 1.3L memberi nilai tambahan sebanyak RM3,747 berbanding model sebelum ini.

Bagi varian Standard AT 1.3L pula memberi penjimatan sebanyak RM2,043 manakala Standard MT 1.3L mempunyai nilai tambahan sebanyak RM2,291 untuk mereka yang membelinya.

Google ads
Back to top button