
PROTON SUPRIMA S KINI DI AUSTRALIA
Hanya selepas beberapa minggu dilancarkan di Jakarta, Indonesia, PROTON Holdings Berhad (Proton) memperkenalkan Proton Suprima S di Australia.
Proton Suprima S diperkenalkan di Sydney oleh Ketua Pegawai Operasi (Komersial) Proton, Hisham Othman dan Ketua Pegawai Operasi PROTON Cars Australia, Kaye Aimes.
Hatchback itu ditawarkan dalam dua varian iaitu GX dan GXR. Suprima S dikuasakan oleh enjin Campro Charged Fuel Efficiency (CFE) bersesaran 1.6 liter. Ia mampu menjana kuasa sehingga 103kW @ 5,000rpm dan tork 205Nm @ 2,000-4,000rpm.
Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear Protronic CVT tujuh kelajuan. Proton juga mendedahkan bahawa transmisi manual enam kelajuan akan ditawarkan mulai tahun depan.
Proton Suprima S menawarkan ciri yang tidak pernah ada pada model-model Proton sebelum ini. Sama seperti Prevé GX dan GXR, Proton Suprima S turut menerima penarafan lima bintang daripada ANCAP. Menurut Hisham, spesifikasi Suprima S di Australia adalah sama dengan model yang ditawarkan di Malaysia.
“Pengenalan Proton Suprima S ke pasaran Australia merupakan bukti komitmen Proton terhadap pelanggannya di Malaysia dan pasaran antarabangsa,” kata Hisham.
Proton Suprima S akan mula dijual di Australia pada 1 Disember 2013 pada harga AUD21,790 (RM65,116)untuk varian GX CVT dan AUD26,590 (RM79,449) bagi model GXR CVT. Lima warna ditawarkan iaitu biru, merah, perak, putih dan hitam.











