
KLIMS’13: HONDA ODYSSEY BAHARU
Honda Odyssey generasi pertama dihasilkan pada tahun 1994 sebelum mula menjengah pasaran tempatan pada 2002. Dianggap sebagai MPV premium dengan harga yang tinggi di Malaysia, kelibat Odyssey tidak ketara di atas jalan raya. Kalau ada pun, kebanyakannya dibeli menerusi grey importer.
Mahu tampil lebih kompetitif, Honda Malaysia memperkenalkan Odyssey serba baharu pada sesi previu media Kuala Lumpur International Motor Show 2013 (KLIMS’13) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam.
Odyssey dikuasakan oleh unit enjin Earth Dreams baharu bersesaran 2.4L DOHC i-VTEC. Berkuasa 175PS dan tork maksimum 225Nm, enjin tersebut kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT. Bagi meningkatkan lagi tahap penjimatan minyak, MPV bersaiz penuh ini dilengkapi mode ECON.
Honda Malaysia menawarkan Odyssey menerusi dua varian iaitu EX dan EXV. EXV yang berspesifikasi penuh dikatakan sama dengan varian Odyssey Absolute di pasaran Jepun.
Antara spesifikasi tambahan pada EXV ialah lampu LED, bumbung suria hadapan, sistem kemasukan pintar, butang penghidup enjin, tempat duduk kulit, selain bodykit berbeza dan banyak lagi. Harganya pula ialah RMRM228,000 untuk varian EX dan RM248,000 (EXV).
Dikenali sebagai sebuah MPV yang menawarkan pemanduan sporty, Odyssey tampil dengan platform lantai ultra rendah yang baru dibangunkan. Bumbungnya yang lebih tinggi memberikan ruang kabin cukup luas dan selesa untuk tujuh orang penumpang.
Bagi memudahkan urusan keluar masuk, MPV ini didatangkan dengan pintu gelongsor. Kapasiti ruang kargo juga dapat dimaksimumkan menerusi tempat duduk boleh dilipat dengan beberapa konfigurasi.
“Odyssey menawarkan pakej lengkap sebagai sebuah MPV premium. Kami mensasarkan jualan sebanyak 1,000 unit Odyssey pada tahun depan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, En.Yoichiro Ueno.
Didatangkan dalam bentuk CBU dari Jepun, Odyssey sarat dengan pelbagai ciri keselamatan seperti enam beg udara, VSA, ABS, EBD, BA dan banyak lagi.
Ditawarkan dalam empat warna menarik iaitu hitam, puith, perak dan ungu, MPV ini hadir dengan jaminan selama lima tahun dengan perbatuan tanpa had.
Selain Odyssey, Honda Malaysia mengujakan pengunjung KLIMS’13 apabila turut mempamerkan kereta konsep ialah EV-STER, CR-Z Mugen RR, Accord Plug-in Hybrid dan jentera lumba Honda Malaysia Racing Team (HMRT).
[hr]Galeri





















