Buletin

PROTON X90 2026 DILANCARKAN – TIGA VARIAN, HARGA BERMULA RM106K

Proton X90 kini menerima kemas kini bagi tahun model 2026, dengan pelancarannya diumumkan secara rasmi hari ini.

Ini merupakan kemas kini pertama untuk model berkenaan sejak diperkenalkan pada Mei 2023.

Antara perubahan paling ketara adalah penggunaan rangkaian kuasa baharu serta penstrukturan semula varian kepada tiga pilihan iaitu Lite, Prime dan Prime X.

Model terkini ini menggunakan enjin i-GT 1.5TD empat silinder turbo, menghasilkan 181PS pada 5,500rpm serta 290Nm tork antara 2,000 hingga 3,500rpm. Kuasa dihantar ke roda melalui transmisi dual-clutch tujuh kelajuan (7DCT).

Dari segi penampilan, kemas kini kali ini tidak membawa perubahan besar pada rekaan luaran SUV tiga baris ini, dengan semua varian kini hadir dengan rim aloi 18-inci.

Pilihan warna luaran yang ditawarkan ialah:

  • Quartz Black
  • Marine Blue
  • Armour Silver
  • Snow White
  • Jet Grey

Bahagian dalaman pula hanya ditawarkan dalam warna hitam, sama ada dengan kemasan kulit sintetik atau kulit Nappa bergantung kepada varian.

Varian asas Lite didatangkan dengan enjin i-GT 1.5TD yang dipadankan bersama transmisi dual-clutch tujuh kelajuan serta suspensi belakang jenis multi-link untuk pemanduan yang lebih stabil dan selesa.

Dari segi kelengkapan luaran, ia dilengkapi lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang (DRL), rim aloi 18-inci serta rel bumbung.

Di bahagian kabin pula, model ini menampilkan skrin infotainmen bersaiz 12.3-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, tempat duduk balutan kulit sintetik, tujuh port USB, enam beg udara serta sensor parkir belakang.

Beralih kepada varian Prime, model ini menambah beberapa ciri keselesaan dan teknologi bantuan pemandu. Antaranya termasuk lampu hadapan automatik, pengelap cermin hadapan dengan sensor hujan serta lampu sambutan di bahagian hadapan.

Selain itu, ia turut dilengkapi paparan kluster instrumen digital bersaiz 10.3-inci, tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa enam hala, kamera 360 darjah dengan fungsi pandangan telus 180 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) serta sensor parkir hadapan.

Bagi varian paling lengkap iaitu Prime X, model ini menawarkan lebih banyak ciri premium untuk meningkatkan keselesaan penumpang.

Antaranya termasuk tempat duduk balutan kulit Nappa, sokongan lumbar untuk tempat duduk pemandu serta tempat duduk penumpang hadapan dengan larasan kuasa empat hala yang turut dilengkapi fungsi “boss switch”.

Selain itu, ia juga hadir dengan pengudaraan tempat duduk bagi baris pertama dan kedua, susunan tempat duduk kapten untuk baris kedua, perehat kepala ergonomik bagi baris pertama dan kedua serta kamera perakam pemanduan (DVR) di bahagian hadapan.

Beralih pada harga, masing-masing boleh dimiliki pada harga bermula daripada RM106,800 bagi varian Lite, diikuti varian Prime pada harga RM116,800, manakala varian paling tinggi iaitu Prime X ditawarkan pada harga RM122,800.

Sempena pelancarannya, Proton menawarkan rebat istimewa sebanyak RM7,000 kepada pembeli, menjadikan harga bagi setiap varian bermula daripada RM99,800 untuk varian Lite, RM109,800 bagi varian Prime dan RM115,800 untuk varian Prime X.

GALERI:

Google ads
Back to top button