Buletin

PROTOTAIP KERETA TERBANG AKAN DILANCARKAN OKTOBER

Lagi berita mengenai perkembangan projek kenderaan mobiliti udara atau lebih popular disebut kereta terbang di Malaysia. Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan menerusi menterinya Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof, ia akan siap tak lama lagi dan prototaipnya akan dipamerkan pada Oktober nanti.

Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof juga sekali lagi menegaskan bahawa projek tersebut dibiayai pihak swasta dan tidak membabitkan sebarang pelaburan dari pihak kerajaan.

“Ia adalah inisiatif daripada beberapa syarikat persendirian. Kementerian juga perlu menjalinkan hubungan baik dengan sektor swasta atau persendirian agar perkembangan industri ini selari dengan peringkat antarabangsa,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas-Pasir Puteh) yang bertanyakan perkembangan model prototaip kereta terbang.

Mohd. Redzuan pada masa sama menjelaskan, kementeriannya komited untuk menyediakan persekitaran yang baik bagi membolehkan industri mobiliti berkembang di Malaysia agar membolehkan negara tidak ketinggalan dalam teknologi terkini.

Terdahulu pada Mac lalu, YAB PM, Tun Dr Mahathir Mohamed telah meninjau ‘prototype air mobility’ di Pavilion Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) ketika LIMA2019, Langkawi Kedah.

Air mobility tersebut yang dikenali sebagai ‘Vector’ dibangunkan secara design & engineering oleh Aerodyne Sdn Bhd sebuah syarikat tempatan yang menyediakan perkhidmatan penyelesaian berintegrasi yang berasaskan dron. Vector akan menjadi penanda aras bagi pembangunan ‘aerocar’. 

KREDIT: UTUSAN ONLINE

Google ads
Back to top button