Buletin

MAG TAWAR TAMBANG MURAH KE LANGKAWI

Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) melalui anak syarikatnya akan menawarkan tambang rendah ke Langkawi menjelang pembukaan semula sektor pelancongan pada Hari Malaysia ini.

Malaysia Airlines, Firefly dan MHholidays membuka tempahan tambang rendah sehingga 30 September depan untuk perjalanan antara 16 September hingga 31 Oktober 2021.

Dalam satu kenyataan, MAG berkata pelanggan yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 dapat memulakan percutian mereka dengan tambang Economy Lite Malaysia Airlines serendah RM89 untuk perjalanan sehala semua dalam satu dan menikmati kemudahan seperti elaun bagasi kabin tujuh kilogram (kg) dan makanan percuma.

“Pelanggan yang mahu kemudahan perjalanan yang lancar boleh memilih tambang Economy Flex untuk faedah tambahan termasuk perubahan tarikh tanpa had dan tiada bayaran yang dikenakan, pemulangan wang percuma tanpa dikenakan fi, fleksibiliti “Go Show” (mengubah masa penerbangan), keutamaan daftar masuk, keutamaan menaiki pesawat (boarding) dan elaun bagasi daftar masuk sebanyak 35 kilogram,” katanya.

Sementara itu, Firefly memberi tawaran menarik dengan tambang serendah RM19 dari Pulau Pinang ke Langkawi dan RM69 dari Subang ke Langkawi dengan diskaun sebanyak RM50 sebagai insentif kepada individu yang sudah menerima suntikan vaksinasi lengkap.

Pelanggan boleh memanfaatkan perkhidmatan penerbangan 28 kali seminggu Malaysia Airlines ke Langkawi dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perkhidmatan Firefly sebanyak 10 kali seminggu dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor.

MHholidays, cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines menawarkan diskaun 50 peratus untuk tiket penerbangan dan pakej hotel di hotel empat hingga lima bintang yang terpilih, antaranya Datai Langkawi, Berjaya Langkawi Resort, Pelangi Beach Resort and Spa, dan Vivanta Langkawi Rebak Pulau.

“Pelanggan digalakkan untuk mendapatkan maklumat mengenai gelembung pelancongan terkini Langkawi oleh Majlis Keselamatan Nasional (MKN) di https://www.mkn.gov.my/web/ms/sop-perintah-kawalan-pergerakan/. – BH

Google ads
Back to top button