Buletin

VINATA AEROMOBILITY BAKAL DEDAH KERETA TERBANG HIBRID INDIA

Syarikat pemula, Vinata Aeromobility yang berpangkalan di Chennai, India bakal mendedahkan kereta terbang hibrid pertama buatan India di Helitech Expo 2021, United Kingdom (UK) pada Oktober ini.

Kereta terbang berkenaan yang memiliki berat 1,100 kg mampu menampung berat sehingga mencecah 1,300 kg.

Ia menampilkan panel instrumen digital dilengkapi kecerdasan buatan (AI), tingkap kanopi panorama, sistem hiburan online dan pengesan sistem kedudukan sejagat (GPS).

Kereta hibrid elektrik berstatus kenderaan vertikal berlepas dan mendarat (VTOL) dijana kuasa bateri elektrik.

Selain itu, jentera didakwa kereta terbang hibrid pertama Asia tersebut menggunakan sistem 4-rotor co-axial, lapan motor elektrik BLDC (Brushless DC) serta bahan api bio untuk menggerakkan motor.

Ia mampu  terbang mencecah 100 hingga 120 km/j dengan masa penerbangan maksimum 60 minit  pada sejauh ketinggian maksimum 3,000 kaki.

 Menteri Penerbangan Awam India, Jyotiraditya Scindia berkata model konsep tersebut yang dibangunkan sepasukan golongan muda Vinata Aeromobility bakal menjadi kereta terbang hibrid pertama di rantau Asia.

“Jika model konsep itu menjadi realiti, kereta terbang akan digunakan sebagai medium pengangkutan orang dan kargo. Ia juga akan diluaskan kepada perkhidmatan kecemasan dan perubatan,” katanya. –cartoq/HTAuto

Google ads
Back to top button