Buletin

BENDUNG MASALAH ALAT GANTI TIRUAN, PERODUA JALIN KERJASAMA DENGAN KPDNHEP

Dalam usaha menghalang penularan produk dan alat ganti tiruan di pasaran, Perodua mengambil inisiatif dengan menganjurkan sesi perjumpaan bersama pegawai-pegawai penguatkuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) di ibu pejabatnya di Sungai Choh semalam.

“Kami sedar terdapat banyak produk dan alat ganti tiruan di pasaran yang menggunakan jenama Perodua dan sebahagiannya sukar dibezakan dengan yang tulen. Ini termasuklah minyak pelincir, penapis minyak, penyerap hentak dan pad brek.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana barangan tersebut merupakan komponen penting. Pelanggan boleh terpedaya membeli dan menggunakan barangan tiruan ini pada kenderaan mereka.

“Ini bukan sahaja akan membatalkan waranti, malah boleh menjejaskan keselamatan dan keadaan kenderaan mereka,” kata ,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Dato’ Dr Zahari Husin.

Perodua bersama sekumpulan pengedar servis dan stokis terpilih telah menyampaikan taklimat menyeluruh kepada kira-kira 120 pegawai penguatkuasa KPDNHEP.

Mereka menjelaskan tentang pelbagai produk dan alat ganti Perodua, di mana ia produk dijual, aliran logistik dan kaedah membezakan barangan tulen dan tiruan.

Turut hadir dalam sesi taklimat itu ialah Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan) KPDNHEP, Tuan Suhaimi Mat Sari.

Perodua menyampai ucapan terima kasih kepada KPDNHEP, Tuan Suhaimi Mat Sari dan pegawai- pegawai penguatkuasa kerana sudi menyertai inisiatif ini. Ia berharap sesi ini memberi manfaat serta membantu tugas mereka untuk mengesan, mengenal pasti dan membanteras barangan tiruan Perodua di pasaran.

Pengeluar kenderaan itu juga menggesa orang ramai agar tidak tertipu dengan taktik peniaga tidak bertanggungjawab yang menjual barangan tiruan Perodua.

Beli serta guna produk dan alat ganti tulen Perodua daripada stokis-stokis yang sah atau mana-mana pusat servis Perodua di seluruh negara.

Produk dan alat ganti tulen Perodua boleh didapati dengan harga yang berpatutan dan memberi ketenangan minda.

Sebagai alternatif, Perodua turut menawarkan produk dan alat ganti ProGanti yang lebih mampu milik, tetapi tetap diuji serta diperakui oleh Perodua.

“Kami amat mengambil berat mengenai anda dan kenderaan anda. Ini merupakan sebahagian daripada Pengalaman Perodua, yang menjadi bukti kesungguhan dan iltizam kami untuk sentiasa mengatasi jangkaan dan mengekalkan kesetiaan anda,” tambahnya.

Google ads
Back to top button