Artikel Pilihan

VECTOR W8  CASIS NO 17 MUNCUL KEMBALI SELEPAS 25 TAHUN MENGHILANG – MANA KAU PERGI NAK?

Nama Vector W8 mungkin tak ramai yang kenal. Tambahan pula kalau korang terdiri dalam golongan yang bersunat pakai laser. Supercar yang rare ini bersaing dengan Ferrari 328 GTS dan Lamborghini Countach pada zamannya tapi bagi kami Vector W8 ini kelihatan lebih agresif dari segi rupa paras.

Korang yang layan Gran Turismo dari awal mesti ingat kereta ni kan? Kalau korang pernah pandu korang akan tahu betapa sedap bunyi ekzos dan enjin kereta ni.

Kereta ini memang sangat-sangat rare dan cuma dihasilkan sebanyak 17 unit. Dua daripadanya merupakan prototaip dan casis nombor 17 dalam gambar ini mempunyai sejarah yang cukup panjang lagi tragis. Ia telah hilang dari radar selama 25 tahun dan video yang dihasilkan oleh CuratedTV menunjukkan bagaimana mereka berjaya menemuinya kembali.

Menurut video tersebut, W8 ini asalnya adalah milik, Gerald Weigert, pengasas Vector Aeromotive Corporation. VAC kemudian diambil alih oleh Megatech pada awal 90an. Weigert tidak mahu menyerahkan kuasa kepada Megatech menyebabkan berlaku rampasan pelbagai aset oleh pemilik baharu dan antaranya termasukah Vector W8 milik Weigert. Kesian.

Megatech juga merupakan pemilik Lamborghini pada ketika itu (Alah sewaktu kecoh Lamborghini dimiliki oleh hartawan Indonesia masa tu, Megatech la tu). Megatech telah membawa W8 yang dirampas ke ibu pejabat Lamborghini AS di Jacksonville. Ia dipamerkan bersama model-model Lamborghini lain hinggalah pada satu masa ia dihantar ke Eropah. Di sana ia jatuh ke tangan seorang pengumpul persendirian.

Weigert kemudian memulakan usaha perundangan untuk mendapatkan kembali Vector W8 tersebut dan mendakwa ia adalah milik peribadi beliau dan bukannya sebahagian dari aset Vector Automotive Corporation. Sayangnya Weigert telah meninggal dunia pada 2021 sebelum masalah itu berjaya diselesaikan.

Tapi sekarang isu tersebut telah berjaya diselesaikan bila satu persetujuan telah dicapai antara pemilik semasa dan keluarga Weigert. Satu langkah bijak dan berjaya mengakhiri pertelingkahan sejak sekian lama. Vector W8 kini disatukan kembali dengan Manufacturer’s Statement of Origin (MSO) asal yang mengesahkan status kereta tersebut sebagai milik peribadi Weigert.

Selepas tergantung tak bertali selama 25 tahun kini sudah terbukti siapa pemilik sebenar Vector W8 casis nombor 17. Okey masalahnya kira setel dengan bayar duit ke pulangkan balik kereta tu? Kita tengok lah nanti macam mana.

Kalau kena kat kita orang ambil Axia pekak macam tu pun boleh meroyan inikan pulak supercar yang rare macam ni.

Google ads
Back to top button