Buletin

PUKUL PENUNGGANG BASIKAL DENGAN BATANG BESI, PEMANDU WIRA BIRU DIPANGGIL POLIS 

Polis telah mengenal pasti pemandu kereta Proton Wira berwarna biru yang bertindak memukul seorang penunggang basikal di lampu isyarat berhampiran Pasar raya AEON Seri Manjung, seperti video yang tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki tempatan berusia 30-an yang beralamat di Batu Gajah itu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu pada Selasa.

Menurutnya, berdasarkan rakaman tular itu, polis telah mengenal pasti pemilik kereta berkenaan yang kemudiannya memaklumkan bahawa kenderaan itu telah dipinjam oleh lelaki terbabit yang juga merupakan rakannya, pada hari kejadian.

“Berdasarkan maklumat awal, kejadian itu berlaku pada 13 Mac lalu.

“Penunggang basikal dipercayai warga asing masih belum dikenal pasti dan sehingga kini, mangsa belum tampil membuat laporan berhubung kes itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Rakaman video berdurasi 53 saat yang dirakam menggunakan kamera papan pemuka (dashcam) itu memaparkan seorang lelaki yang memandu kereta secara tiba-tiba berhenti di susur kiri jalan dan keluar dari kenderaan sambil memegang sebatang besi.

Lelaki terbabit kemudiannya bertindak luar kawalan dengan memukul seorang penunggang basikal yang berhenti di lampu isyarat itu beberapa kali, sebelum memandu pergi. – Sinar Harian 

Google ads
Back to top button