Artikel PilihanModifikasi

BUKTI MODIFIKASI PROTON WIRA TAK PERLU BERLEBIHAN. KERETA NI NAMPAK BIASA TAPI POWER!

Jika diberi soalan Proton apakah yang paling popular, majoriti jawapan yang diterima sudah tentu terarah kepada model Proton Wira. Dengan harga semasa yang sangat masuk akal, tidak hairanlah jika ianya masih diminati dan diterima ramai.

Tak perlu ikat perut sampai senak 9 tahun. Apa yang ditawarkan, sebenarnya sudah memadai untuk bertugas sebagai sedan keluarga yang praktikal.

Faktor harga ini juga, mendorong pemilik Wira menghasilkan sesuatu yang menarik. Salinan Lancer EVO misalnya dah macam semut punya banyak, hingga sukar dibezakan statusnya yang sebenar.

BACA: CADANGAN MODIFIKASI PROTON WIRA

Di satu sisi lain, ada pula golongan yang cuba mengekalkan rupa MDM asal (Malaysian Domestic Model), sebelum dikacuk bersama komponen tertentu. Dulu mungkin tak nampak mana. Tapi lama kelamaan fenomena ini semakin meriah, dan mampu membentuk rangkaian komuniti yang tersendiri.

Proton Wira milik Rohadi ini antara yang mengenakan tema MDM kacuk dengan jayanya. Caranya mudah saja. Hanya kekalkan rupa yang asal, sebelum diadun bersama rangkaian komponen lain.

Ada jeriji radiator depan dari Proton UK Spec, lip depan Mirage, skirt sisi Lancer GSR, cermin cromax, cermin sisi Ganador, hood EVO III yang diubahsuai, serta unit sunroof juga dari EVO III. Banyak jugak, cuma kurang menonjol akibat kalernya yang suram. Cuba bagi warna pucuk pisang misalnya, mesti dari jauh dah boleh perasan.

BACA: WIRA GSR YANG PADU!

Kedudukan kereta kemudian direndahkan sedikit, hasil penggunaan set suspensi boleh laras Tein HA untuk depan dan belakang. Termasuk dalam pakej ini adalah kasut sukan ultra femes jenis Volk Racing TE37 yang dibalut getah Toyo Proxes T1R berukuran 215/45R-17 setiap satu. Memastikan ia mampu berhenti pada waktunya, sektor hentian dibantu komponen brek dari EVO III.

ENJIN ASAL YANG LEMAU

Dilahirkan dengan enjin 4G15P, pilihan naik taraf paling bijak tentulah siri 4G93T dari Lancer GSR. Nak kata murah tak jugak, cuma jumlah prestasinya mudah dipertingkatkan sekiranya perlu.

Memandangkan Rohadi belum ke arah itu, salinan enjin ini hanya diberi sepasang cam pulley boleh laras Arospeed, penapis udara Blitz, kabel pencucuh Ultra, pam petrol Walbro serta unit regulator Sard.

Bagi membenarkan kuasa dari turbo TD04L asal berfungsi lebih cemerlang, bahagian sistem pendesak menerima sebuah wastegate Turbosmart 40mm, injap pelepas Blitz, termasuk binaan paip intercooler baru untuk proses sejukan.

Menjengah ke bahagian dalam, hiasannya agak tipikal untuk projek ubahsuai seperti ini. Ia menyaksikan kehadiran papan pemuka EVO III sebagai menu utama, diikuti tambahan panel pintu, stereng dan tempat duduk dari model yang sama.

Selain itu, ada jugak tombol gear GSR, burger dashboard, deretan meter Defi, serta meter boost Apexi untuk tujuan pemantauan. 

Apa yang dilakukan Rohadi sebenarnya cukup sederhana dan bersahaja. Contoh bagaimana konsep MDM kacuk, boleh kelihatan menarik tanpa perlu mengendurkan poket.

Taklah rasa rugi sangat. Janji dapat memenuhi kehendak dan impian sebelum ini…

-PAK MAUN-

GALERI

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”148″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button